
Ketua Pemuda PAS Selangor, Sukri Omar, mendakwa acara itu bercanggah dengan nilai adab dan sensitiviti budaya tempatan, dan keperluan menghormati Islam sebagai agama persekutuan dalam penganjuran program bersekala besar.
“Kita lihat kerajaan hari ini sudah lagi tidak menjaga sensitiviti rakyat,” katanya kepada pemberita selepas menyerahkan memorandum kepada Ketua Sekretariat Tahun Melawat Malaysia 2026, Akbal Setia.
Menurut Sukri, memorandum mahu Motac memastikan setiap acara dalam kalendar Tahun Melawat Malaysia melalui tapisan nilai yang lebih ketat bagi mencerminkan budaya tempatan sebenar.
Katanya, Motac selaku penganjur bersama ada kuasa untuk menghentikan acara itu, begitu juga Dewan Bandaraya Kuala Lumpur dan Jabatan Wilayah Persekutuan.
“Ia masih bawah kerajaan Malaysia, bukan negara lain. Jadi mereka ada kuasa untuk hentikan serta-merta,” katanya.
Sukhri juga mempersoalkan penganjuran program itu sedangkan Perdana Menteri Anwar Ibrahim menyeru kepada penjimatan. “Apatah lagi dalam keadaan rakyat sedang berhumpas pulas untuk hidup tetapi kerajaan masih lagi melaksanakan program seperti ini,” katanya.
Turut hadir wakil beberapa NGO seperti Ikatan Muslimin Malaysia, dan Gerakan Pembela Ummah, serta gerakan pelajar seperti Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia.
Terdahulu, Berita Harian melaporkan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan turut membantah penganjuran Rain Rave Water Music Festival, kerana ia dilihat berpotensi membawa kepada kemudaratan akhlak serta keruntuhan nilai masyarakat.
Rain Rave Water Music Festival dijangka antara tarikan utama Tahun Melawat Malaysia tahun ini, dengan konsep unik menggabungkan muzik, elemen air, dan visual interaktif.
Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Tiong King Sing dilapor berkata, penganjuran festival itu selari dengan aspirasi memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai destinasi pelancongan utama di rantau ini.
Sukri hari ini bagaimanapun mahu Tiong meletakkan jawatan. “Jadi masa untuk menteri ini sudah tamat. Berundurlah supaya kita dapat terus mengangkat budaya dan pelancongan di negara ini ke martabat yang lebih baik,” katanya.