Teresa Kok dakwa PAS Selangor bercanggah berkait isu penternakan babi

Teresa Kok dakwa PAS Selangor bercanggah berkait isu penternakan babi

Ahli Parlimen Seputeh berkata PAS Selangor tidak mempunyai dasar konsisten dalam menangani isu berkenaan.

teresa kok, sukri omar n Ab Halim Tamuri
Teresa Kok berkata kritikan Sukri Omar terhadap cadangan sistem penternakan babi moden bercanggah dengan kenyataann Ab Halim Tamuri.
PETALING JAYA:
Ahli Parlimen Seputeh Teresa Kok mendakwa wujud percanggahan pendirian dalam kepimpinan PAS Selangor berhubung isu penternakan babi, sekali gus menimbulkan persoalan kesungguhan parti itu mencari penyelesaian dasar.

Wakil rakyat DAP itu mendakwa kenyataan Ketua Pemuda PAS Selangor Sukri Omar yang mengkritik cadangan sistem penternakan babi moden dan tertutup di Selangor oleh Adun Balakong Wong Siew Ki adalah ‘menghairankan’ kerana bercanggah dengan pendirian pimpinan tertinggi negeri itu.

Menurutnya, Pesuruhjaya PAS Selangor Ab Halim Tamuri sebelum ini menyatakan parti itu tidak menentang aktiviti penternakan babi atau pemakanan daging babi dalam kalangan bukan Islam, dengan syarat kebersihan alam sekitar terjamin dan lokasi ladang sesuai.

Beliau merujuk kenyataan Adun Paya Jaras itu dalam lawatan ke Ibu Pejabat China Press pada 30 Jan lalu.

“Kenyataan itu telah diterima baik oleh masyarakat bukan Islam, namun pendirian berbeza oleh ketua Pemuda PAS Selangor kini menimbulkan gambaran seolah-olah wujud ketidakselarasan dalaman,” katanya dalam kenyataan.

Teresa berkata percanggahan itu menunjukkan PAS Selangor tidak mempunyai dasar konsisten dalam menangani isu berkenaan, malah didakwa lebih cenderung mempolitikkan perkara itu.

Wong pada sidang DUN mencadangkan kerajaan negeri dan pelabur mempertimbangkan penerokaan sistem penternakan babi yang tertutup dan moden, termasuk konsep ‘zero discharge’ serta teknologi kitar semula biogas kepada elektrik.

Wong berhujah penternakan babi tidak seharusnya dibezakan dengan haiwan lain kerana risiko pencemaran, aspek kebersihan, dan kesihatan adalah serupa merentasi semua jenis penternakan.

Pada 10 Feb lalu, Sultan Sharafuddin Idris Shah menzahirkan pendirian tidak berkenan jika ada mana-mana kawasan dijadikan tempat penternakan babi.

Cadangan Wong dikritik pelbagai pihak, antaranya Pemuda PAS Selangor yang menyifatkannya sebagai tindakan yang biadab dan tidak menghormati institusi raja berperlembagaan.

Kok berkata saranan Wong itu membuktikan beliau seorang wakil rakyat yang berwawasan dan berjiwa rakyat kerana berani mengutarakan solusi praktikal bagi masalah berlarutan sekian lama.

“Untuk rekod, sistem penternakan haiwan secara tertutup dan moden telah lama diamalkan di peringkat global, termasuk oleh syarikat-syarikat di negara jiran.

“Sekiranya Malaysia mahu mengurangkan kebergantungan kepada import makanan, kita wajib mewujudkan sistem penternakan dan pertanian moden yang mesra alam demi menjamin sekuriti makanan negara,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.