
Dr Afif Bahardin (PN-Taman Medan) berkata beliau telah menghantar usul itu kepada Setiausaha Dewan pada sebelah pagi dan memohon Speaker Lau Weng San meneliti perkara berkenaan.
“Pagi ini saya telah menghantar satu usul kepada Dewan ini melalui Setiausaha Dewan untuk merujuk Yang Berhormat Seri Kembangan kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan,” katanya ketika mencelah sesi sambungan usul menjunjung kasih titah ucapan Sultan Selangor.
Bagaimanapun, Lau memaklumkan beliau belum menerima dan meneliti kandungan usul tersebut, justeru tidak dapat membuat sebarang keputusan serta-merta.
Lau turut menegaskan Afif tidak boleh menggunakan Peraturan Tetap untuk mengambil peluang berbahas sebelum usul itu diteliti secara rasmi.
Ketegangan memuncak apabila beberapa Adun iaitu Hilman Idham (PN-Gombak Setia) termasuk Ketua Pembangkang Azmin Ali (PN-Hulu Kelang) terus bangun mencelah, menyebabkan Speaker berulang kali mengarahkan mereka duduk dan tidak mengganggu perjalanan sidang.
“Yang Berhormat Taman Medan duduk. Ini bukan masa untuk perbahasan. Saya kata saya akan semak, cukup setakat itu,” tegas Lau.
Beliau turut memberi amaran kepada Afif selepas wakil rakyat pembangkang itu terus mendesak penjelasan berhubung status usul berkenaan.
Semalam, Wong ketika membahaskan titah Sultan Selangor menyembah maklum isu penternakan babi menyentuh hak kesamarataan di bawah Perkara 8(2) Perlembagaan Persekutuan.
Wong berhujah penternakan babi tidak seharusnya dibezakan dengan haiwan lain kerana risiko pencemaran, aspek kebersihan, dan kesihatan adalah serupa merentasi semua jenis penternakan.
Dia turut melahirkan rasa dukacita kerana isu tersebut didakwanya telah dipolitikkan oleh pelbagai pihak.