Lambakan Rohingya di Pandan Perdana jadi krisis ketenteraman awam, kata Adun

Lambakan Rohingya di Pandan Perdana jadi krisis ketenteraman awam, kata Adun

Yew Jia Haur berkata, kehadiran warga asing itu kebelakangan ini semakin tidak terkawal sehingga jejas kesejahteraan penduduk tempatan.

Adun Teratai Yew Jia Haur tegaskan, sehingga hari ini, tiada satu agensi kerajaan pun dilihat benar-benar tuntas dan berani tangani isu lambakan Rohingya di Pandan Perdana secara menyeluruh. (Gambar Facebook)
SHAH ALAM:
Adun Teratai Yew Jia Haur menyifatkan isu lambakan gelandangan etnik Rohingya di Pandan Perdana sebagai satu krisis ketenteraman awam yang semakin serius dan tidak lagi boleh dianggap sekadar masalah sosial biasa.

Ketika membahaskan usul menjunjung kasih pada sidang DUN Selangor, Yew berkata, kehadiran warga asing itu sejak satu hingga dua tahun kebelakangan ini semakin tidak terkawal sehingga menjejaskan kebersihan, keselamatan dan kesejahteraan penduduk tempatan.

Menurutnya, sebahagian mereka didakwa mendiami kaki lima, ruang letak kenderaan, serta membina penempatan haram di celah-celah bangunan perniagaan dan kawasan rekreasi, selain menceroboh premis kosong untuk dijadikan tempat tinggal tanpa izin.

“Apa yang menyedihkan (ialah) kehadiran mereka bukan sekadar menumpang teduh, tetapi mendatangkan pelbagai kacau ganggu yang menguji kesabaran penduduk tempatan,” katanya.

“Isu kebersihan menjadi isu negeri, (apabila) sampah sarap dibuang merata-rata, bau hancing dan busuk menyelubungi lorong-lorong belakang serta penggunaan kemudahan awam secara rakus tanpa menghiraukan sensitiviti masyarakat setempat.”

Selain itu, katanya, terdapat juga laporan mengenai perilaku agresif serta tindakan yang mencabar kedaulatan undang-undang tempatan.

Yew turut mendakwa penduduk berdepan kesukaran apabila aduan yang dibuat kepada pihak berkuasa tempatan (PBT), Jabatan Imigresen dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sering berakhir tanpa penyelesaian kerana masing-masing menyatakan kekangan bidang kuasa.

“Sehingga hari ini, tiada satu agensi kerajaan pun dilihat benar-benar tuntas dan berani untuk menangani isu ini secara ‘total’. Kita seolah-olah menolak bola sesama sendiri manakala penduduk Pandan Perdana terus menderita menjadi mangsa keadaan,” katanya.

Beliau turut mempersoalkan tindakan sesetengah pemegang kad UNHCR yang didakwa menggunakan dokumen itu seolah-olah sebagai ‘lesen kebal’ untuk tinggal secara gelandangan di kawasan awam.

Katanya, status pelarian tidak seharusnya menjadi alasan untuk melanggar undang-undang kecil PBT atau menceroboh harta awam.

Beliau menambah, isu itu turut memberi kesan kepada nilai hartanah, menjejaskan perniagaan setempat serta menimbulkan kebimbangan terhadap keselamatan wanita dan kanak-kanak.

Justeru, beliau mendesak kerajaan negeri mengambil langkah proaktif dan tegas bagi menangani isu berkenaan sebelum tercetus ketegangan antara komuniti akibat kegagalan penguatkuasaan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.