Selangor serah keputusan anjur Sukma kepada KBS, jawatankuasa tertinggi

Selangor serah keputusan anjur Sukma kepada KBS, jawatankuasa tertinggi

MB Amirudin Shari berkata, sebarang keputusan berkaitan Sukma perlu dibuat pada peringkat pusat, selaras dengan struktur tadbir urus sedia ada.

amirudin shari
Menteri Besar Selangor Amirudin Shari berkata, keputusan berhubung penangguhan Sukma perlu dibuat secara menyeluruh kerana walaupun mahu jimat kos, ia turut mesti berpaksikan kepentingan rakyat. (Gambar Bernama)
SHAH ALAM:
Kerajaan Selangor menyerahkan sepenuhnya kepada Kementerian Belia dan Sukan (KBS) serta Jawatankuasa Tertinggi Sukan Malaysia (Sukma) Selangor 2026 bagi menentukan keputusan berhubung penganjuran temasya itu di negeri ini, yang dijadualkan pada Ogos depan.

Menteri Besar Amirudin Shari berkata, sebarang keputusan berkaitan Sukma perlu dibuat pada peringkat pusat selaras dengan struktur tadbir urus sedia ada, selain memastikan persiapan atlet tidak terjejas menjelang Sukan SEA edisi 2027 yang menjadi fokus utama pembangunan sukan negeri.

“Sukma ditetapkan oleh Jawatankuasa Tertinggi Sukma, bukan ditentukan oleh kerajaan negeri. Saya percaya Menteri Belia dan Sukan (Dr Taufiq Johari) akan bertindak dengan sebaik mungkin dan membuat keputusan yang terbaik.

“Yang penting persediaan atlet kita untuk Sukan SEA 2027 tidak terganggu kerana Sukma merupakan medium untuk mengenal pasti kebolehan atlet. Kita akan lihat secara menyeluruh selepas mendengar input ahli-ahli Dewan,” katanya kepada media selepas menghadiri Majlis Tautan Muhibah anjuran Menteri Besar Selangor Pemerbadanan (MBI Selangor) di Pusat Konvensyen Setia City hari ini.

Mengulas lanjut, Amirudin berkata, pihaknya akan mengambil kira pandangan semua pihak termasuk hasil perbahasan di DUN sebelum sebarang pendirian dimuktamadkan, bagi memastikan keputusan yang dibuat lebih seimbang dan menyeluruh.

Katanya, aspek implikasi kewangan menjadi antara pertimbangan penting, memandangkan terdapat perbelanjaan awal yang telah dibuat serta risiko kerugian sekiranya berlaku perubahan keputusan pada peringkat akhir pelaksanaan.

“Kita akan kumpulkan semua pandangan termasuk daripada perbahasan DUN dan dapatan terdahulu kerana isu ini pernah dibangkitkan sebelum ini termasuk kos yang telah dibelanjakan dan risiko kehilangan deposit jika tidak diteruskan.

“Keputusan perlu dibuat secara menyeluruh kerana walaupun kita mahu menjimatkan kos, ia tidak boleh hanya berdasarkan logik semata-mata, tetapi mesti berpaksikan realiti serta kepentingan rakyat,” katanya.

Terdahulu, Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah menzahirkan pandangan bahawa penganjuran Sukma Selangor 2026 wajar ditangguhkan sehingga krisis di Asia Barat selesai dan sehingga pembangunan semula Stadium Shah Alam siap sepenuhnya.

Sukma Selangor 2026 dijadualkan berlangsung dari 15 hingga 24 Ogos ini.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.