
Pekan Ramli menjangkakan kos pengurusan meningkat antara 20%-30% bagi setiap kontinjen, terutama dari Sabah dan Sarawak yang perlu menanggung kos penerbangan.
“Jika mahu mempertahankan kenapa Sukma perlu diteruskan, perlu ada jawapan yang kukuh,” katanya kepada FMT.
Sukma 2026 dijadualkan berlangsung dari 15 hingga 24 Ogos, dengan Selangor sebagai tuan rumah. Kos bagi penganjuran Sukma pada tahun ini dianggarkan berjumlah RM250 juta, menurut Exco Belia, Sukan dan Keusahawanan Najwan Halimi tahun lalu.
Pada Februari tahun lepas, Utusan Malaysia melaporkan anggaran tersebut melibatkan pengurusan sekretariat, persediaan atlet, penyediaan teknikal peralatan kelengkapan pertandingan, perkampungan sukan, logistik dan sistem teknologi.
Ia turut merangkumi media dan promosi, protokol dan hadiah, kecemasan dan keselamatan, majlis pembukaan dan penutup, larian obor, bayaran sukarelawan dan prasarana lokasi pertandingan.
Pekan berpandangan penangguhan Sukma akan ‘sedikit menjejaskan’ persiapan menghadapi Sukan SEA tahun depan.
“Kita berharap dapat mengetengahkan atlet muda yang boleh disandarkan harapan menerusi Sukma Selangor untuk mewakili negara,” tambahnya.
Dalam pada itu, pakar ekonomi Ahmed Razman Abdul Latiff daripada Putra Business School bersetuju Sukma ditangguhkan jika semua aspek diambil kira dan diteliti.
“Walaupun ia akan memberi kesan kepada pembangunan bakat sukan tetapi apa yang lebih penting ialah keutamaan kepada rakyat dalam mendepani kos sara hidup yang tinggi,” katanya.
Terdahulu, Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah bertitah penganjuran Sukma Selangor 2026 wajar ditangguhkan sehingga krisis di Asia Barat selesai, dan sehingga pembangunan semula Stadium Shah Alam siap sepenuhnya.
Kementerian Belia dan Sukan akan mendapatkan pandangan dan maklum balas kerajaan Selangor selaku tuan rumah.
Jawatankuasa Tertinggi Sukma 2026 akan bermesyuarat bagi membincangkan perkara ini secara terperinci, melibatkan semua negeri, Majlis Sukan Negara dan Majlis Olimpik Malaysia.