
Baginda mencadangkan kerajaan negeri mempercepat usaha membangunkan sektor WTE bagi menangani cabaran pengurusan sisa secara lebih mampan, di samping memenuhi keperluan tenaga lestari.
“Beta difahamkan terdapat negeri-negeri lain yang telah terlebih awal mengorak langkah sejak beberapa tahun lalu dalam membangunkan industri ini, dan hasilnya memperlihatkan potensi yang amat besar bukan sahaja dari segi kelestarian alam sekitar, malah dalam membantu penjimatan perbelanjaan negeri,” titahnya.
Sultan Sharafuddin bertitah demikian ketika merasmikan pembukaan Sidang DUN Selangor.
WTE yang banyak digunakan di negara maju bukan hanya dapat mengurus sisa pepejal secara cekap malah menghasilkan bekalan tenaga stabil.
Teknologi itu juga mampu mengurangkan sehingga 85% hingga 90% sisa yang dihantar ke tapak pelupusan, sekali gus mengurangkan kebergantungan kepada tanah yang semakin terhad seperti di Selangor.
Di Selangor antara projek WTE dirancang termasuk pembangunan Loji Tenaga Hijau Sultan Idris Shah (SIS) di Rawang, bagi membantu mengurus sisa secara lebih berkesan dan pada masa sama menjana tenaga.
Bulan lalu, Pengarah Urusan KDEB Waste Management (KDEBWM), Ramli Mohd Tahir, dipetik berkata projek itu hanya akan diteruskan selepas mematuhi sepenuhnya semua keperluan peraturan alam sekitar serta tertakluk kelulusan akhir Jabatan Alam Sekitar (JAS).
Beliau menafikan spekulasi yang tular mendakwa permohonan penilaian kesan alam sekitar (EIA) bagi projek itu tidak ditolak dan masih berada dalam proses semakan standard JAS.