Sultan cadang Sukma Selangor ditangguh

Sultan cadang Sukma Selangor ditangguh

Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah bertitah penangguhan ambil kira keadaan ekonomi kesan krisis Timur Tengah selain kos penganjuran.

sultan selangor
Sultan Sharafuddin Idris Shah, bertitah adalah lebih wajar penganjuran Sukma Selangor ditangguh sehingga krisis Timur Tengah selesai dan sehingga Stadium Shah Alam siap sepenuhnya. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Sultan Selangor mencadangkan agar penganjuran Sukan Malaysia (Sukma) 2026 di negeri itu ditangguhkan sehingga krisis di Timur Tengah selesai dan menunggu Stadium Shah Alam siap sepenuhnya.

Sultan Sharafuddin Idris Shah, bertitah demikian mengambil kira penganjuran temasya sukan berkenaan memerlukan peruntukan sangat tinggi.

“Dalam keadaan ekonomi semasa, beta berpandangan adalah lebih wajar penganjuran itu ditangguhkan sehingga krisis di ‘Middle East’ selesai dan sehingga Stadium Shah Alam siap sepenuhnya.

“Dalam masa yang sama, beta juga menitahkan agar penganjuran Piala Sultan Selangor bagi perlawanan bola sepak tahunan antara Selangor dan Singapura bagi tahun 2026 dibatalkan,” titahnya menurut Harian Metro sempena pembukaan Persidangan DUN Selangor, di Shah Alam.

Baginda turut bertitah agar kejohanan bola sepak Piala Jubli Perak dianjurkan membabitkan pelajar sekolah bawah 15 tahun antara daerah di seluruh Selangor kekal dianjurkan, sebagai usaha memupuk bakat muda serta menyemai semangat kesukanan di peringkat akar umbi.

“Tambahan lagi sukan bola sepak ini merupakan sukan paling popular dalam kalangan rakyat negeri Selangor.”

Terdahulu media melaporkan, Sukma Selangor akan tetap diteruskan dari 15 hingga 24 Ogos depan di sebalik cabaran krisis tenaga global dan kesan ekonomi yang dirasai seluruh dunia ketika ini.

Keputusan itu dicapai dalam Mesyuarat Jawatankuasa Tertinggi Sukma 2026 dipengerusikan Menteri Belia dan Sukan, Dr Taufiq Johari yang turut dihadiri Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM) Mohammad Norza Zakaria, Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Jefri Ngadirin, dan Exco Belia, Sukan & Keusahawanan Selangor, Mohd Najwan Halimi.

Taufiq berkata, pembatalan temasya itu boleh membabitkan implikasi kewangan lebih besar kepada semua pihak termasuk negeri yang sudah membuat persiapan awal.

Pada 11 April, beliau menjelaskan tiada perkampungan sukan akan disediakan bagi Sukma Selangor dengan atlet terlibat akan menerima subsidi penginapan mengikut kontinjen masing-masing.

Katanya, setiap atlet akan diberikan subsidi RM100 sehari dengan penganjuran temasya itu akan dilaksanakan secara lebih berskala kecil, namun tidak menjejaskan kualiti atlet, sukan dan penganjuran keseluruhan.

Dalam pada itu, memetik Kosmo, Sultan Sharafuddin menzahirkan dukacita apabila masih terdapat pihak yang seolah-olah tidak berpuas hati dan dengan mematuhi titah baginda berhubung larangan penternakan babi di Selangor.

Baginda bertitah, keputusan tersebut dibuat selepas mengambil kira pelbagai faktor termasuk kekangan tanah selain kedudukan ladang ternakan yang berada di kawasan penempatan penduduk padat dengan umat Islam.

“Baru-baru ini, beta telah menitahkan agar ternakan babi tidak diadakan di negeri Selangor. Namun demikian masihterdengar rungutan dari beberapa pihak yang seolah-olah tidak berpuas-hati dan enggan untuk mematuhi titah beta,” titahnya.

Justeru, baginda menyarankan agar isu ini diselesaikan dengan mengimport daging babi dari luar terutamanya dari Sarawak untuk bekalan kaum bukan Islam memerlukannya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.