
Baginda bertitah isu itu sudah berlarutan sejak sekian lama, namun nasihat yang telah diberikan sebelum ini seolah-olah tidak diendahkan, lapor Sinar Harian.
Kerugian akibat banjir di Selangor mencecah RM52.9 juta tahun lalu, iaitu lebih dua kali ganda berbanding RM22.6 juta yang dicatatkan pada 2024.
“Setiap tahun peruntukan disediakan untuk mengatasi masalah banjir, tetapi hasilnya masih tidak memuaskan.
“Rakyat terus menanggung kesan, terutama mereka yang tinggal di kawasan perumahan di beberapa daerah,” titah baginda merasmikan pembukaan Sidang DUN Selangor.
Baginda menegaskan kerajaan negeri mesti memberi keutamaan kepada usaha menyelesaikan masalah banjir di Selangor, termasuk merangka pelan tindakan yang menyeluruh untuk jangka pendek, sederhana dan panjang.
Sultan Sharafuddin turut menitahkan supaya Sungai Klang dibersihkan bagi memastikan bekalan air bersih yang mencukupi kepada rakyat, selaras dengan pertambahan penduduk negeri itu.
Titah Sultan Selangor, baginda baginda kerap menerima aduan daripada rakyat berhubung kegagalan kerajaan menangani isu-isu asas yang memberi kesan langsung kepada kehidupan mereka.
Sehubungan itu, baginda menggesa supaya satu pendekatan yang lebih tersusun, menyeluruh dan berkesan dilaksanakan agar masalah seperti ini tidak terus berulang.
Baginda juga mahu kerajaan negeri memastikan setiap dasar digubal sentiasa mengutamakan kepentingan rakyat Selangor.
“Beta sering menerima aduan bertulis daripada rakyat mengenai kegagalan menangani masalah asas. Jangan hanya bercakap sehingga rakyat hilang kepercayaan,” titah baginda.