DUN Selangor kecoh, pembangkang mahu hadir mesyuarat JTPD, PBT

DUN Selangor kecoh, pembangkang mahu hadir mesyuarat JTPD, PBT

Adun Sungai Ramal Mohd Shafie Ngah berkata pembangkang bukan sahaja perlu memainkan peranan semak dan imbang dalam DUN, tetapi juga perlu dilibatkan di peringkat bawah.

Adun Sungai Ramal Mohd Shafie Ngah berkata tiada jemputan menghadiri mesyuarat Jawatankuasa Tindakan Pembangunan Daerah dan pihak berkuasa tempatan menunjukkan kerajaan negeri tidak demokratik. (Gambar Facebook)
SHAH ALAM:
Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor kecoh apabila Adun Sungai Ramal, Mohd Shafie Ngah menuntut wakil rakyat pembangkang dibenarkan menghadiri mesyuarat Jawatankuasa Tindakan Pembangunan Daerah (JTPD) dan pihak berkuasa tempatan (PBT).

Ketika membahaskan usul menjunjung kasih titah diraja, Shafie berkata, pembangkang bukan sahaja perlu memainkan peranan semak dan imbang di dalam Dewan, tetapi juga perlu dilibatkan di peringkat bawah.

Jelasnya, pembangkang dipilih rakyat dan mempunyai tanggungjawab mengetahui perkembangan pembangunan di kawasan sendiri supaya maklumat tepat dapat disampaikan kepada penduduk.

“ Yang kami nak adalah kami dibenarkan masuk ke mesyuarat JTPD untuk tahu apa yang sedang dibuat kerajaan negeri dan kami boleh bercakap serta menegur, jika perlu. Itu sahaja demi rakyat.

“Tuanku sebut untuk kebajikan rakyat, tidak lebih daripada itu. Saya mohon kerajaan negeri mempertimbangkan semula untuk membenarkan pegawai daerah menjemput kami hadir ke mesyuarat daerah di semua daerah dan negeri ini.”

Beliau menyifatkan tiada jemputan menghadiri mesyuarat itu menunjukkan kerajaan negeri tidak demokratik.

Bagaimanapun, Adun Seri Serdang, Abbas Salimmi Che Adzmi @ Azmi tampil mempersoalkan Shafie adakah beliau akan melakukan perkara sama ketika menjadi pemerintah.

“Perkara sama juga yang Sungai Ramal lakukan ketika Sungai Ramal berada dalam kerajaan. Sungai Ramal tidak bising ketika itu, pembangkang tidak dilibatkan (dalam mesyuarat).”

Shafie bangkit membalas dengan berkata: “Pembangkang tidak bertanya ketika kami dalam kerajaan.”

Pertemuan pembangkang untuk ‘makan sandwich’

Shafie menjelaskan, pertemuan pembangkang di Hotel Concorde hanya untuk “makan sandwich” sambil menyusun semula pembahagian portfolio dalam kalangan wakilnya serta memperkukuhkan peranan mereka sebagai semak dan imbang kerajaan negeri.

“Ia termasuk untuk memberi peluang kepada ketua pembangkang menambah baik semua portfolio yang dipegang rakan-rakan lain.”

Terdahulu, Adun Seri Kembangan, Wong Siew Ki, mempersoalkan tindakan pembangkang yang hanya berbincang mengenai fungsi semak dan imbang selepas hampir tiga tahun berada dalam DUN Selangor.

Beliau turut menyindir pembangkang yang didakwanya lebih banyak “sibuk dengan jawatan sahaja” berbanding menjalankan fungsi semak dan imbang secara berkesan.

Selain semak dan imbang, katanya, Sultan Selangor dalam titah baginda turut mengingatkan setiap perbahasan perlu dibuat berasaskan fakta tepat tanpa memutarbelitkan fakta demi meraih populariti murahan.

“Jadi, saya ingin bertanya secara terbuka, adakah perkara ini turut dibincangkan dalam persidangan Hotel Concorde tersebut atau hanya separuh daripada titah Tuanku diambil, manakala separuh lagi dibiarkan begitu sahaja.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.