
Dick Lembang Dugun dari Universiti Malaysia Sarawak berkata, kekuatan GPS pimpinan Premier Abang Johari Openg kini berada pada tahap tertinggi sehingga sukar bagi mana-mana pihak menawarkan alternatif meyakinkan kepada rakyat.

Beliau menyifatkan pembangkang di Sarawak ketika ini seolah-olah kehilangan ‘suara’ dalam mendepani cabaran parti tempatan yang memiliki rekod tadbir urus kukuh.
“Sesebuah negeri memerlukan semak dan imbang untuk memastikan semangat demokrasi terus subur. Maka, pembangkang tempatan mesti tahu bagaimana untuk tampil dengan naratif yang boleh menjamin kewujudan pembangkang di DUN Sarawak,” katanya kepada FMT.
Sementara itu, James Chin dari University of Tasmania berkata langkah GPS untuk menyapu bersih semua kerusi pada PRN akan datang bukan perkara mengejutkan.

Beliau berkata, tumpuan gabungan itu kini terarah kepada pengukuhan jentera dan pertambahan kawasan pilihan raya baharu.
“Tiada apa yang baharu dalam hal ini kerana sudah dijangka GPS mahu menang semua kerusi di Sarawak. Jadi adalah mustahil untuk mereka berunding.
“Persoalannya sekarang bukan lagi sama ada mereka akan bertanding, tetapi sama ada Parlimen akan meluluskan penambahan 17 kerusi baharu di negeri itu,” katanya.
Sebelum ini, Abang Johari selaku pengerusi GPS berkata gabungan itu akan meletakkan calon di semua kerusi DUN pada PRN akan datang sambil meminta parti dari luar tidak mengganggu kerana hanya rakyat Sarawak benar-benar memahami budaya dan politik negeri berkenaan.
Penggal DUN Sarawak akan tamat Februari tahun depan, melainkan dibubarkan lebih awal, dan pilihan raya mesti diadakan dalam tempoh 60 hari selepas pembubaran atau selewat-lewatnya menjelang April 2027.
Dalam DUN yang mempunyai 82 kerusi ketika ini, GPS memiliki 79 terdiri PBB (47), SUPP (13), Parti Rakyat Sarawak (11), dan Parti Demokratik Progresif (lapan), selain mendapat sokongan seorang wakil bebas. Pembangkang pula terdiri DAP (dua) yang mewakili Pakatan Harapan.