
Merujuk keadaan ekonomi dan kos tinggi penganjuran, Sultan Sharafuddin bertitah kejohanan dwitahunan itu wajar ditangguhkan sehingga krisis di Asia Timur dan Stadium Shah Alam siap sepenuhnya.

Dalam perbahasan di DUN Selangor, Adun Pelabuhan Klang, Azmizam Zaman Huri, berpandangan titah Sultan Selangor mencerminkan keprihatinan serta pandangan jauh baginda dalam memastikan setiap perbelanjaan negeri dilaksanakan secara berhemah serta memanfaatkan rakyat.
Beliau berkata, penganjuran temasya itu sememangnya memerlukan komitmen kewangan besar melibatkan pelbagai aspek seperti penyediaan tempat, logistik, pengurusan atlet, keselamatan serta keseluruhan yang komitmen perbelanjaan banyak bergantung kepada kerajaan Selangor.
Katanya, penganjuran Sukma wajar dilihat sebagai agenda nasional yang memanfaatkan seluruh negara dan bukan hanya sebagai tanggungjawab negeri semata-mata.
“Justeru, saya mencadangkan kerajaan persekutuan melalui Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dapat mempertimbangkan untuk menyalurkan sokongan serta suntikan dana bagi menampung kos penganjuran dan pada masa sama meringankan kos dikeluarkan Kerajaan Selangor untuk bersama-sama menjayakan penganjuran temasya ini,” katanya.
Semalam, Sultan Sharafuddin juga menitahkan penganjuran Piala Sultan Selangor bagi perlawanan bola sepak tahunan antara Selangor dan Singapura bagi tahun 2026 dibatalkan, atas faktor sama.
Menteri Besar, Amirudin Shari, berkata kerajaan negeri menyerahkan sepenuhnya kepada KBS serta Jawatankuasa Tertinggi Sukma Selangor 2026 bagi menentukan keputusan berhubung penganjuran temasya itu di negeri ini, yang dijadualkan pada Ogos depan.
Bagaimanapun, Menteri Belia dan Sukan Taufiq Johari pula berkata KBS akan mendapatkan pandangan kerajaan negeri selaku tuan rumah.
Mengulas lanjut, Azmizam berkata sebarang keputusan sama ada untuk menangguhkan ataupun meneruskan penganjuran Sukma perlu diperhalusi dan dibincangkan secara ilmiah, menyeluruh dan berasaskan data.
Menurutnya, antara perkara perlu diambil kira adalah pembangunan atlet muda negara khsusnya bawah 21 tahun untuk menjadi pelapis mewakili negara di arena antarabangsa.
“Dalam konteks semasa, Sukma berperanan sebagai titik permulaan dalam satu rantaian pembangunan atlet negara yang tersusun. Bermula daripada Sukma, atlet-atlet muda akan diberi pendedahan ke peringkat antarabangsa melalui penyertaan dalam ‘Youth Olympic Games’ dijadualkan berlangsung juga pada 2026.
“Seterusnya, atlet-atlet ini akan terus diperkasakan untuk mewakili negara ke temasya yang lebih kompetitif iaitu Sukan Asia dan Sukan Komanwel yang akan berlangsung pada tahun ini juga.
“Sebelum melangkah ke Sukan SEA pada 2027 dan akhirnya mencapai kemuncak prestasi di Sukan Olimpik 2028 sebagai pentas sukan tertinggi dunia,” katanya.