Gesaan tangguh PRN petanda takut, kata Muhyiddin

Gesaan tangguh PRN petanda takut, kata Muhyiddin

Presiden Bersatu itu berkata, pembangkang sedia hadapi pilihan raya pada bila-bila masa.

Muhyiddin Yassin
Muhyiddin Yassin berkata, tiada alasan munasabah tangguh PRN Melaka selepas seorang Ahli Parlimen DAP cadang darurat di tengah-tengah krisis Timur Tengah.
KUALA LUMPUR:
Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin membidas gesaan agar PRN Melaka dan Johor ditangguhkan, menyifatkan cadangan sedemikian didorong oleh rasa takut akibat kehilangan sokongan rakyat.

Mengulas cadangan Ahli Parlimen DAP Khoo Poay Tiong untuk mengisytiharkan darurat bagi menangguhkan PRN Melaka akan datang, Muhyiddin berkata, tiada alasan munasabah untuk menangguhkan pilihan raya tersebut.

“Saya tak tahu apa sebab sekarang ini minta supaya ditangguhkan. (Mungkin) takut kalau adakan pilihan raya sekarang, mereka kalah.

“Mereka (akan) kalah kerana rakyat sudah marah (disebabkan) masalah minyak, beban kos sara hidup,” katanya kepada pemberita selepas majlis rumah terbuka Hari Raya anjuran Setiausaha Agung Bersatu Azmin Ali di Gombak, hari ini.

Muhyiddin yang juga bekas pengerusi Perikatan Nasional (PN) berkata, pembangkang sudah bersedia menghadapi pilihan raya pada bila-bila masa.

“Malah sekarang pun, kami dah mula persiapan pada peringkat negeri dan nasional, dah lantik pengarah pilihan raya dan sebagainya,” katanya.

Khoo yang juga Ahli Parlimen Kota Melaka berkata, pengisytiharan darurat bagi menangguhkan PRN itu salah satu pendekatan yang boleh dipertimbangkan.

Katanya, perkara itu patut dibincangkan secara terbuka, termasuk kemungkinan menunggu sehingga keadaan global kembali stabil sebelum mengadakan pilihan raya.

Beliau berkata, persoalan utama ketika ini adalah sama ada masa sekarang benar-benar sesuai untuk pilihan raya diadakan.

Cadangan tersebut mengundang kritikan daripada pelbagai pihak, termasuk Ketua Pemuda Umno Dr Akmal Saleh.

Ketua Menteri Melaka Ab Rauf Yusoh sebelum ini mengesahkan bahawa PRN dijangka diadakan dalam tempoh enam bulan, menjelang tamatnya penggal DUN pada 30 Dis.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno Ahmad Maslan turut mencadangkan agar PRN Melaka dan Johor ditangguhkan, memandangkan keadaan geopolitik global tidak menentu.

Bagaimanapun, Presiden Umno Zahid Hamidi berkata, kenyataan Ahmad itu hanyalah pandangan peribadinya dan parti tidak berkongsi pendirian yang sama dalam isu itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.