
Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah Zahid Hamidi berkata, rangkaian RisSMart bukan sekadar platform jualan, sebaliknya ekosistem peruncitan yang mampu memperluas pasaran produk desa dengan lebih tersusun dan berimpak tinggi.
“RisSMart bukan sekadar outlet biasa, tetapi sebuah hab pemasaran yang holistik bagi membantu usahawan desa bergerak daripada pengeluaran kecil kepada pengkomersialan yang lebih mampan,” kata Zahid yang juga timbalan perdana menteri.
Beliau kata demikian ketika berucap merasmikan pembukaan cawangan ke-18 RisSMart Grocer, rangkaian pasar raya di bawah Risda Agri Food Industries Sdn Bhd.
Zahid berkata, model operasi RisSMart Grocer turut mengadaptasi pendekatan ‘farm-to-market’ yang menghubungkan pengeluar secara terus kepada pengguna.
“Model ini turut mengurangkan kebergantungan orang tengah, meningkatkan margin pendapatan usahawan di samping penawaran harga yang kompetitif kepada pengguna.
“Secara tidak langsung, inisiatif ini juga menyokong pembentukan rantaian bekalan yang lebih cekap, mampan dan responsif terhadap keperluan pasaran,” katanya.
Menurutnya, pemasaran bersepadu dengan sokongan teknologi, data, logistik dan pendigitalan turut menjadi fokus utama bagi memastikan produk desa mampu bersaing dalam pasaran lebih luas.
Pada masa sama, Zahid berkata, pembukaan RisSMart selari dengan keperluan mendesak untuk mengubah pendekatan ekonomi pekebun kecil yang selama ini terlalu bergantung kepada satu sumber pendapatan.
Katanya, ketidaktentuan ekonomi global, turun naik harga komoditi dan peningkatan kos sara hidup menuntut komuniti luar bandar mempelbagaikan sumber pendapatan.
“Pekebun kecil tidak boleh lagi bergantung kepada satu sumber sahaja. Mereka perlu mencipta nilai tambah dan menceburi keusahawanan,” katanya.
Beliau berkata, melalui ekosistem seperti RisSMart, pekebun kecil berpeluang terlibat dalam aktiviti hiliran termasuk peruncitan dan perkhidmatan yang mampu menjana pendapatan lebih stabil.
“Kita mahu melihat pekebun kecil bukan sekadar pengusaha tanah, tetapi sebagai pemain aktif dalam ekosistem ekonomi moden yang berdaya saing dan mampan,” katanya.