Jika setuju parti baharu masuk, sokong dalam mesyuarat, Zahid beritahu komponen BN

Jika setuju parti baharu masuk, sokong dalam mesyuarat, Zahid beritahu komponen BN

Presiden BN gesa parti komponen nyata pendirian rasmi agar perlembagaan gabungan dapat dipinda.

ZAHID HAMIDI BN
Pengerusi BN Zahid Hamidi beri jaminan usaha jadikan Kimma sebagai ahli penuh BN akan diperjuangkan pada peringkat tertinggi gabungan.
KUALA LUMPUR:
Parti-parti komponen Barisan Nasional (BN) digesa menyatakan pendirian secara rasmi menyokong pindaan perlembagaan gabungan itu untuk membolehkan kemasukan parti baharu sebagai ahli teras, kata pengerusinya, Zahid Hamidi.

Zahid yang juga presiden Umno berkata, kekangan utama ketika ini adalah perlembagaan BN yang menetapkan sebarang kemasukan parti sebagai ahli teras mesti mendapat persetujuan sebulat suara daripada semua parti komponen.

“Kita mempunyai kekangan, dan kekangannya adalah perlembagaan BN itu sendiri yang menetapkan mana-mana permohonan untuk menyertai BN sebagai parti teras mesti mendapat persetujuan 100% daripada parti-parti teras,” katanya ketika berucap merasmikan Perhimpunan Agung Kongres India Muslim Malaysia (Kimma) 2025 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur.

Sehingga kini, katanya, perlembagaan BN masih belum dapat dipinda kerana belum ada kesepakatan dalam kalangan kepimpinan tertinggi.

Beliau berkata, jika benar ada pihak yang tidak menghalang kemasukan Kimma yang kini berstatus ‘Friends of BN’, perkara itu perlu dizahirkan melalui keputusan rasmi dalam mesyuarat BN.

“Jika benar mereka tidak menghalang, saya mahu perkara itu dibuktikan dalam mesyuarat tertinggi BN akan datang melalui kenyataan rasmi untuk menerima dan meminda perlembagaan BN.

“Saya tidak mahu kenyataan media lain, ucapan lain, tetapi dalam mesyuarat cakap lain,” katanya dipercayai merujuk kenyataan seorang pemimpin MIC baru-baru ini.

Januari lepas, Timbalan Presiden MIC menyeru parti-parti mesra BN dijadikan ahli penuh gabungan selepas Parti Progresif Penduduk (PPP) diterima kembali menyertai BN selepas meninggalkannya pada 2018.

Dalam ucapannya, Zahid turut memberi jaminan kepada kepimpinan Kimma bahawa usaha untuk menjadikan parti itu sebagai ahli penuh BN akan diperjuangkan pada peringkat tertinggi gabungan.

“Percayalah, saya akan pastikan jika ada resolusi, ia mesti dibuktikan dan disahkan dalam mesyuarat tertinggi BN, dan saya akan cadangkan Kimma sebagai ahli penuh BN,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.