BN tanding solo di Johor bukan luar biasa, kata Salleh

BN tanding solo di Johor bukan luar biasa, kata Salleh

Bekas ketua menteri Sabah berkata parti politik boleh jadi pesaing semasa pilihan raya dan bekerjasama selepas pilihan raya apabila keadaan memerlukan.

Salleh Said Keruak
Bekas ketua menteri Sabah, Salleh Said Keruak berkata BN dan PH bekerjasama di persekutuan kerana memerlukan majoriti yang mencukupi untuk membentuk kerajaan yang stabil. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Keputusan Barisan Nasional (BN) bertanding solo di Johor bukan sesuatu yang luar biasa dalam politik gabungan, walaupun ada yang melihat ia tidak selari dengan kerjasama bersama Pakatan Harapan (PH) di persekutuan.

Bekas ketua menteri Sabah, Salleh Said Keruak berkata di peringkat Persekutuan, BN dan PH bekerjasama kerana realiti politik memerlukan majoriti yang mencukupi untuk membentuk kerajaan yang stabil.

Katanya, di Johor pula, BN merasakan mereka mempunyai kekuatan untuk mendapatkan mandat rakyat atas kapasiti sendiri.

“Situasi yang hampir sama pernah dilalui Sabah pada PRN 2020 di mana BN, Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan Warisan bersaing sesama mereka untuk mendapatkan mandat rakyat.

“Selepas pilihan raya, BN memilih untuk menyertai kerajaan negeri bersama GRS manakala Warisan kekal sebagai pembangkang,” katanya dalam catatan di Facebook.

Salleh berkata, situasi seperti ini berlaku di banyak negara, sebagai contoh di Jerman di mana parti-parti utama sering bersaing dalam pilihan raya tetapi kemudiannya membentuk kerajaan gabungan apabila tiada parti memperoleh majoriti yang jelas.

Katanya, di India, parti yang bekerjasama di peringkat nasional kadangkala bertanding sesama sendiri di peringkat negeri, manakala Di Australia pula, strategi politik sering berbeza antara negeri dan Persekutuan.

“Parti politik boleh menjadi pesaing semasa pilihan raya dan bekerjasama selepas pilihan raya apabila keadaan memerlukan.

“Akhirnya, politik ditentukan oleh mandat rakyat dan bilangan kerusi yang diperoleh. Yang penting ialah kestabilan kerajaan dan keupayaan untuk mentadbir dengan berkesan,” katanya.

Semalam, Menteri Besar Johor Onn Hafiz Ghazi mengumumkan pembubaran DUN negeri itu selepas mendapat perkenan Pemangku Sultan Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim, bagi memberi laluan kepada PRN ke-16.

Bulan lalu, Onn Hafiz yang juga pengerusi BN Johor mengumumkan BN negeri bergerak solo pada PRN selepas mengambil kira suara dan harapan rakyat Johor serta kepimpinan akar umbi.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.