
Ketuanya, Noor Azleen Ambros, berkata cubaan menakut-nakutkan pengundi dengan naratif Johor akan kerugian atau dipinggirkan jika tidak sehaluan dengan kerajaan persekutuan bukanlah politik yang matang mahupun bertanggungjawab.
“PRN bukanlah pertandingan antara kerajaan negeri menentang kerajaan persekutuan. Ia adalah proses demokrasi untuk rakyat menentukan gabungan parti politik yang paling diyakini mampu mentadbir, membangunkan dan mengurus negeri dengan baik.
“Yang bertanding ialah parti politik, bukannya Johor melawan Putrajaya. Rakyat Johor berhak membuat pilihan tanpa diugut dengan bayangan kehilangan pembangunan atau peruntukan,” katanya kepada FMT.
Beliau mengulas kenyataan Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Johor, Aminolhuda Hassan, yang menyeru rakyat negeri itu memilih kerajaan negeri sehaluan kerajaan persekutuan.
Pada PRN akan datang, PH dijangka mempertahankan 12 kerusi, manakala BN ketika ini memiliki 40 DUN, PN (3) dan Muda (1).
Mengulas lanjut, Azleen berkata pihaknya mahu PH berterus terang kepada rakyat jika Johor terus memilih BN pada PRN kali ini.
“Apakah ‘harga’ yang perlu dibayar oleh rakyat. Projek persekutuan yang mana satu akan dibatalkan.
“Peruntukan apa akan ditarik balik, atau adakah ini sekadar naratif ketakutan yang sengaja dimainkan untuk meraih sokongan politik,” katanya.