Sukar P Pinang selaras PRN serentak PRU, kata Chow

Sukar P Pinang selaras PRN serentak PRU, kata Chow

Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow berkata tidak adil bagi negeri yang masih mempunyai baki pemerintahan panjang membubarkan DUN seiring Parlimen.

penang skyline komtar
Pulau Pinang mengadakan PRN pada 12 Ogos 2023 dan masih mempunyai kira-kira dua setengah tahun lagi sebelum tamat penggal. (Gambar Envato Elements)
PETALING JAYA:
Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow berkata negeri itu sukar menyelaraskan PRN serentak dengan PRU disebabkan jurang masa terlalu jauh, selain tempoh mandat yang diberikan rakyat belum cukup lima tahun.

Tegasnya, tidak adil bagi negeri yang masih mempunyai baki pemerintahan panjang membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) seiring Parlimen.

“Sebagai contoh, Pulau Pinang masih mempunyai kira-kira dua setengah tahun lagi sebelum tamat penggal,” katanya menurut Harian Metro selepas merasmikan Pusat Ortopedik Sunway Medical Centre di Seberang Jaya, Butterworth.

“Jadi, tidak adil untuk membubarkan DUN lebih awal semata-mata untuk menyelaraskan PRN dengan Parlimen, selain mengambil kira hak pengundi dan mandat yang diberikan kepada kerajaan negeri ini.

“Inilah yang menjadi cabaran untuk kita memandangkan jadual dan kalender pilihan raya terkini telah berubah kerana pilihan raya yang lalu.”

Tetapi katanya, beliau akan akur jika negeri lain yang tidak mengadakan PRN serentak dengan PRU lalu bersetuju membubarkan DUN bersama Parlimen.

“Namun, dalam hal ini juga apa-apa pun kita tunggu keputusan yang dibuat parti nanti,” katanya.

Pada 2022, Pulau Pinang, Kedah, Selangor, Negeri Sembilan, Kelantan dan Terengganu tidak mengadakan PRN serentak dengan PRU15.

Enam negeri itu mengadakan PRN pada 12 Ogos 2023, dengan parti yang membentuk kerajaan negeri baharu memerintah kurang daripada tiga tahun, setakat ini.

PRN lalu menyaksikan gabungan kerajaan Pakatan Harapan bersama Barisan Nasional Pulau Pinang memenangi 29 daripada 40 kerusi DUN dipertandingkan, manakala Perikatan Nasional memenangi 11 kerusi.

Ditanya sama ada Pulau Pinang akan menghantar bantuan bagi membantu kempen PRN Johor, Chow berkata, petugas akan digerakkan, jika perlu.

“Kita akan bantu dalam apa jua cara yang boleh di Johor, selain kita juga masih menunggu sama ada terdapat negeri lain yang akan mengadakan pilihan raya mengejut. Jadi, semua perkara ini akan kita tunggu dan buat keputusan kemudian.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.