PN tanding 56 kerusi di Johor, 80% pembahagian kerusi selesai

PN tanding 56 kerusi di Johor, 80% pembahagian kerusi selesai

Baki 20% kerusi masih dalam perbincangan melibatkan MIPP serta cadangan kerjasama 'electoral pact' dengan Muda dan Ikatan Prihatin Rakyat.

bendera perikatan nasional
Perikatan Nasional turut mengaktifkan jentera bagi empat komponen parti iaitu Bersatu, PAS, Gerakan dan MIPP dalam gerak kerja pilihan raya.
JOHOR BAHRU:
Rundingan pembahagian kerusi Perikatan Nasional (PN) Johor bagi menghadapi PRN hampir dimuktamadkan dengan kira-kira 80% kerusi selesai.

Pengerusi PN Johor, Sahruddin Jamal, berkata baki 20% kerusi masih dalam perbincangan, melibatkan Parti Rakyat India Malaysia (MIPP) serta cadangan kerjasama melalui ‘electoral pact’ dengan parti lain termasuk Muda dan Ikatan Prihatin Rakyat (IPR).

“Setakat ini, pembahagian kerusi masih dalam perbincangan. Kira-kira 80% telah selesai dan seperti kita maklumkan PN akan bertanding di semua 56 kerusi,” katanya ketika dihubungi Bernama.

Sahruddin berkata, gabungan itu turut mengaktifkan jentera bagi empat komponen parti iaitu Bersatu, PAS, Gerakan dan MIPP dalam gerak kerja pilihan raya.

Semalam, Menteri Besar Johor Onn Hafiz Ghazi mengumumkan pembubaran DUN selepas mendapat perkenan Pemangku Sultan Johor Tunku Mahkota Ismail, sekali gus membuka laluan kepada PRN negeri itu.

Sementara itu, Muda dalam kenyataan memaklumkan ia akan mempertahankan kerusi Puteri Wangsa dan menampilkan lebih ramai calon muda dalam PRN kali ini.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.