
Setiausaha Majlis Syura Ulama PAS, Nik Zawawi Nik Salleh, berkata ketetapan dicapai menerusi mesyuarat badan itu di ibu pejabat agung parti hari ini.
“Majlis Syura Ulama membuat keputusan untuk menyerahkan perkara ini (hubungan dengan Bersatu, kerjasama dalam PN) kepada Jawatankuasa Kerja PAS Pusat bagi mengambil tindakan sewajarnya selaras dasar, prinsip dan kepentingan perjuangan parti.
“Majlis Syura Ulama menyeru seluruh pimpinan, ahli dan pendukung perjuangan terus berpegang kepada adab berjemaah, memperkukuh kesatuan saf serta meletakkan kepentingan Islam, ummah dan negara sebagai keutamaan tertinggi,” katanya ditemui selepas mesyuarat.
Nik Zawawi berkata, Majlis Syura Ulama turut mengambil perhatian serius terhadap krisis dan konflik dalaman Bersatu yang membawa kepada pemecatan beberapa pemimpinnya termasuk bekas timbalan presiden Hamzah Zainudin.
Ahli Parlimen Pasir Puteh itu berkata, krisis dalaman Bersatu dilihat memberi kesan kepada kekuatan, kestabilan dan keyakinan terhadap hala tuju PN untuk membawa agenda penyatuan ummah.
Mesyuarat itu dipengerusikan Timbalan Mursyidul Am PAS Ahmad Yakob yang turut dihadiri wakil PAS pusat antaranya Presiden Hadi Awang, Timbalan Presiden Tuan Ibrahim Tuan Man dan Setiausaha Agung Takiyuddin Hassan serta Ahli Jawatankuasa PAS Pusat Annuar Musa.
Hubungan antara kedua-dua rakan komponen PN itu semakin tegang selepas Hadi menyatakan PAS akan menilai semula kerjasama dengan Bersatu susulan beberapa tindakan parti pimpinan Muhyiddin Yassin yang didakwa tidak selari semangat setia kawan.