
Pengarah Komunikasi BN Selangor Jamal Yunos, turut mendakwa kenyataan Wong berhubung isu penternakan ladang babi moden sebagai tindakan biadab dan tidak menghormati institusi raja berperlembagaan.
“Apa yang dititahkan Tuanku sebelum ini adalah satu langkah bijaksana dan mengambil kira segala aspek dari segi keperluan, pencemaran alam sekitar, dan juga faktor kesihatan.
“Oleh itu kenyataan Wong adalah biadab sama sekali. Dia boleh keluar dari Selangor jika tidak mahu akur kepada titah Sultan Selangor,” katanya yang juga ketua Umno Sungai Besar.
Dalam kenyataan, Jamal berkata, Sultan Sharafuddin Idris Shah tidak pernah menyekat hak bangsa bukan Melayu-Islam untuk makan babi walaupun mengarahkan supaya penternakan babi ditutup, namun ia masih boleh diimport untuk dimakan.
Terdahulu, Pemuda PAS Selangor turut mengecam keras cadangan Wong Siew Ki dengan menyifatkannya sebagai tindakan yang biadab dan tidak menghormati institusi raja berperlembagaan.
Ketua Sukri Omar mendesak tindakan tatatertib tegas diambil ke atas Adun DAP itu, termasuk menggantungnya daripada sidang DUN selama 12 bulan.
Beliau mengulas cadangan Wong pada sidang DUN Selangor supaya kerajaan negeri dan pelabur mempertimbangkan penerokaan sistem penternakan babi yang tertutup dan moden di negeri itu, termasuk konsep ‘zero discharge’ serta teknologi kitar semula biogas kepada elektrik.
Pada 10 Feb lalu, Sultan Sharafuddin Idris Shah menzahirkan pendirian tidak berkenan jika ada mana-mana kawasan di negeri itu dijadikan tempat penternakan babi.