Akmal gesa festival muzik air dibatalkan

Akmal gesa festival muzik air dibatalkan

Ketua Pemuda Umno itu berkata ia bercanggah dengan langkah penjimatan yang diumumkan kerajaan sebelum ini.

Ketua Pemuda Umno Akmal Saleh berkata Rain Rave Water Music Festival yang bermula hari ini hingga 2 Mei sebagai satu pembaziran sumber air. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Ketua Pemuda Umno Akmal Saleh menggesa kerajaan membatalkan penganjuran festival muzik air yang yang dijadualkan berlangsung di Bukit Bintang bermula hari ini hingga 2 Mei.

Beliau juga mempersoalkan sama ada langkah penjimatan diumum kerajaan sebelum ini termasuk membatalkan majlis rumah terbuka Aidilfitri tidak terpakai pada festival air tersebut.

“Mengapa pesta air ini tidak dibatalkan sekali. Adakah ia lebih bernilai berbanding majlis rumah terbuka.

“Kerajaan berusaha menjalankan pembenihan awan untuk menambah kapasiti air, tetapi dalam masa sama kementerian pelancongan sibuk buat pesta air yang membazirkan air,” katanya di Facebooknya.

akmal saleh
Dr Akmal Saleh.

Akmal juga meminta penjelasan daripada Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Zulkifli Hasan serta mufti mengenai pendirian mereka terhadap penganjuran acara tersebut.

Beliau menggesa Perdana Menteri Anwar Ibrahim mempertimbangkan semula penganjuran pesta berkenaan, selain meminta Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Tiong King Sing dipecat.

“Pesta air ini adalah cadangan yang paling bodoh pernah diberikan. Buang sahaja lah menteri pelancongan ini wahai perdana menteri,” katanya

Pada 22 April lalu, Tiong membidas dakwaan ‘palsu dan tidak berasas’ yang tular di media sosial berhubung dua acara yang akan berlangsung di ibu kota dalam masa terdekat.

Tiong menegaskan sambutan Hari Buruh Sedunia dan Rain Rave Water Music Festival, yang dijadualkan berlangsung di Bukit Bintang dari 30 April hingga 2 Mei, ialah acara tahunan.

Kedua-duanya turut menjadi sebahagian kempen Tahun Melawat Malaysia 2026, yang disasarkan untuk merancakkan ekonomi Kuala Lumpur.

Pada Januari, Pemuda PAS Selangor menggesa kementerian pelancongan agar mempertimbangkan semula lokasi, skala dan format festival muzik air itu.

Ketuanya, Sukri Omar berkata, walaupun beliau tidak membantah kempen Tahun Melawat Malaysia 2026, acara berskala besar sepatutnya menampilkan identiti Malaysia, bukannya meniru acara jalanan dari luar negara yang mungkin tidak selari dengan keadaan tempatan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.