Tiong bidas tuduhan ‘palsu, tak berasas’ mengenai festival air, sambutan Hari Buruh

Tiong bidas tuduhan ‘palsu, tak berasas’ mengenai festival air, sambutan Hari Buruh

Menteri pelancongan, seni dan budaya itu berkata, tiada sesiapa dipaksa sertai dua acara di Bukit Bintang itu.

Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Tiong King Sing Tiong luah kekesalan terhadap pihak tidak bertanggungjawab yang didakwa sengaja tabur fitnah untuk kelirukan masyarakat. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Tiong King Sing tampil membidas dakwaan ‘palsu dan tidak berasas’ yang tular di media sosial berhubung dua acara yang akan berlangsung di ibu kota dalam masa terdekat.

Tiong menegaskan sambutan Hari Buruh Sedunia dan Rain Rave Water Music Festival, yang dijadualkan berlangsung di Bukit Bintang dari 30 April hingga 2 Mei, ialah acara tahunan.

Kedua-duanya turut menjadi sebahagian kempen Tahun Melawat Malaysia 2026, yang disasarkan untuk merancakkan ekonomi Kuala Lumpur.

Tiong meluahkan kekesalannya terhadap pihak tidak bertanggungjawab yang didakwanya sengaja menabur fitnah di Threads bagi menimbulkan kekeliruan dalam kalangan masyarakat.

Menurutnya, golongan penghasut ini sedang membina naratif palsu untuk menyesatkan orang ramai mengenai hakikat dan tujuan sebenar kedua-dua acara tersebut.

Beliau berkata, acara berskala besar seperti festival air Songkran di Thailand terbukti mampu menarik minat pelancong ke negara itu, termasuk rakyat Malaysia, sekali gus menjana pulangan yang lumayan.

Tiong turut menegaskan bahawa kedua-dua acara di Malaysia itu dianjurkan secara sederhana.

“Penyertaan adalah secara sukarela. Mereka yang rasa ia tak sesuai untuk disertai tak perlu mengambil bahagian. Tiada sesiapa dipaksa sertai acara tersebut.

“Kita mesti belajar hormati pilihan orang lain,” katanya.

Beliau menyangkal dakwaan bahawa peserta festival muzik air itu diarahkan hadir dengan berpakaian renang atau pakaian yang mencolok mata.

“Jangan politikkan isu ini, atau jadikannya isu perkauman,” katanya.

Tiong berkata, acara seumpama itu juga menyediakan peluang kepada usahawan kecil dan sederhana, khususnya golongan B40, yang bergantung pada inisiatif sedemikian untuk menjana pendapatan.

Pada Januari, Pemuda PAS Selangor menggesa kementerian Tiong agar mempertimbangkan semula lokasi, skala dan format festival muzik air itu.

Ketuanya, Sukri Omar berkata, walaupun beliau tidak membantah kempen Tahun Melawat Malaysia 2026, acara berskala besar sepatutnya menampilkan identiti Malaysia, bukannya meniru acara jalanan dari luar negara yang mungkin tidak selari dengan keadaan tempatan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.