
Ketua Pemuda PAS Selangor Sukri Omar berkata perkembangan itu tidak boleh dilihat sebagai petanda keadaan semakin pulih sepenuhnya, sebaliknya perlu dibaca sebagai amaran awal bahawa tekanan terhadap pasaran buruh, khususnya di pusat pertumbuhan ekonomi negara, masih belum reda.
Menurutnya, laporan memetik data Perkeso menunjukkan Malaysia merekodkan 5,900 kes kehilangan pekerjaan pada Mac, turun daripada 7,500 pada Februari, namun Selangor dan Kuala Lumpur kekal antara wilayah paling terkesan.

Katanya, pemberhentian kerja banyak tertumpu dalam sektor pembuatan, perdagangan borong dan runcit, serta maklumat dan komunikasi.
“Walaupun jumlah keseluruhan menurun, angka itu sama sekali tidak boleh dijadikan alasan untuk kerajaan berasa selesa.
“Di sebalik statistik yang kelihatan menurun, hakikatnya ribuan keluarga masih berdepan kehilangan punca pendapatan, tekanan kos sara hidup, komitmen hutang, sewa rumah, yuran pendidikan anak-anak dan ketidaktentuan masa depan,” katanya dalam kenyataan.
Sukri berkata kedudukan Selangor sebagai nadi ekonomi negara menjadikan trend itu lebih membimbangkan kerana ia boleh memberi gambaran wujudnya masalah struktur yang memerlukan campur tangan segera, bukan sekadar ulasan umum.
Beliau berkata antara langkah perlu diberi keutamaan ialah memperkasa program padanan pekerjaan, latihan semula pekerja diberhentikan, insentif kepada majikan mengekalkan tenaga kerja tempatan, serta bantuan sementara kepada keluarga terkesan.
Katanya, kerajaan juga perlu menilai semula tahap daya tahan sektor-sektor utama yang kini dilihat lebih mudah terdedah kepada tekanan ekonomi dan ketidaktentuan global, terutama sektor pembuatan yang didakwa paling rapuh dari sudut keselamatan pekerjaan.