Blossom Wong lembut di khalayak, kental di sebalik tabir

Blossom Wong lembut di khalayak, kental di sebalik tabir

Bekas pegawai polis itu cekap di medan penyamaran, tenang mengiringi kenamaan dan meninggalkan legasi besar dalam kepolisan moden Malaysia.

Usia mungkin melembutkan wajahnya, tetapi tidak memadamkan legasi yang ditinggalkan Blossom Wong. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Dalam menyelesaikan sesebuah kes, Wong Kooi Fong bukan jenis pegawai polis yang suka berdrama.

Beliau tidak memecahkan pintu sebaliknya membukanya sedikit untuknya melangkah masuk, tenang, tersusun dan menguasai keadaan.

Sebelum orang sempat sedar apa yang berlaku, operasi sudah selesai — kemas, tepat dan tanpa gerakan sia-sia.

Begitulah ketepatan gera kerja wanita yang rakyat Malaysia kenali dengan panggilan Blossom Wong

Beliau meninggal dunia semalam pada usia 88 tahun selepas diserang strok. Tetapi kalau kisah hidupnya hanya dihentikan di situ, terlalu banyak yang akan terlepas pandang.

Wong bukan sekadar sebahagian daripada pasukan polis. Beliau sendiri adalah satu kekuatan.

Namun beliau tidak bermula begitu.

Dilahirkan di Sungai Besi kepada seorang pemilik ladang ayam, Wong menolak laluan hidup sempit yang sering ditentukan untuk wanita pada zamannya.

Beliau memilih hidup yang bergerak, bukan rutin sama setiap hari; memilih dunia luar, bukan sekadar bilik darjah; memilih tindakan, bukan hanya arahan.

Nama ‘Blossom’ datang sejak awal lagi — diberi oleh seorang jiran kerana bakatnya menjaga pokok. Apa sahaja di sekelilingnya seolah-olah tumbuh subur. Nama itu kekal, dan lama-kelamaan maknanya juga ikut melekat pada dirinya.

Pada 1957, hanya beberapa minggu sebelum negara mencapai kemerdekaan, Wong menyertai pasukan polis. Latihannya keras. Kawadnya panjang, disiplin ketat dan bahasa yang digunakan pula asing baginya.

Beliau belajar Bahasa Melayu dari kosong kerana itu yang perlu dilakukan.

Tiada apa yang mudah atau indah-indah pada tahun-tahun awal itu. Tetapi apa yang datang selepasnya itulah yang membentuk namanya.

Antara protokol dan tekanan 

Sebelum kerja penyamaran yang kemudian menjadikan namanya legenda, ada satu sisi lain tentang Wong — sisi yang dibina atas kepercayaan, ketenangan dan wibawa yang tidak perlu ditunjuk-tunjuk.

Beliau sering ditugaskan mengiringi tetamu kenamaan dari luar negara, satu peranan yang menuntut disiplin dan kebijaksanaan diplomasi.

Antara yang pernah diiringinya termasuk isteri Presiden Korea Selatan Park Chung-hee, isteri Perdana Menteri Jepun Eisaku Sato, serta Peguam Negara Amerika Syarikat Robert F Kennedy dan isterinya, Ethel, ketika lawatan mereka pada 1964.

Tugas itu meletakkannya di bawah perhatian ramai. Namun beliau mengendalikannya dengan mudah dan penuh tenang.

Blossom Wong bekas perisik spy PDRM
Blossom Wong ketika menyamar menggunakan keanggunan sebagai strategi memerangi kes. (Gambar Facebook)

Apabila naluri bertemu bahaya 

Pada 1966, Ketua Polis Kuala Lumpur ketika itu, Albert Mah, melihat sesuatu yang belum benar-benar disedari orang lain. Wong sesuai ditempatkan di Jabatan Siasatan Jenayah.

Beliau menyertai unit pencegahan maksiat yang dikenali sebagai Black Cats. Di situ, beliau berubah menjadi watak yang sama sekali berbeza.

Wong bergerak di kawasan-kawasan maksiat di Kuala Lumpur dengan menyamar, sering mengenakan cheongsam supaya mudah membaur tanpa menarik perhatian. Itu bukan sekadar pakaian. Itu strategi.

Dari Jalan Ampang ke Jalan Alor, dari tangga-tangga suram ke bilik tersembunyi di atas kedai kopi, beliau mengetuai operasi yang membongkar kegiatan pelacuran dan rangkaian jenayah yang beroperasi terang-terangan di depan mata.

Sebahagian gadis yang diselamatkannya masih di bawah umur. Sebahagian lagi sudah terlalu jauh terperangkap untuk mudah kembali.

Kerja itu menuntut keberanian, kesabaran, dan kesanggupan melangkah masuk ke dalam bahaya tanpa banyak amaran. Wong memiliki ketiga-tiganya.

Hasil kerjanya menarik perhatian.

Ketua Polis Negara ketika itu, Hanif Omar, kemudian menugaskannya menubuhkan unit siasatan rogol pertama dalam pasukan polis.

Untuk zaman itu, langkah itu sangat berani.

Wong dan pasukannya menjalani latihan bersama Royal Canadian Mounted Police, sekali gus menjadi antara yang terawal di negara ini menggunakan bukti DNA dalam siasatan jenayah.

Ia menandakan perubahan senyap dalam cara kes dibina, disiasat dan dibuktikan.

Beliau kemudian mengetuai bahagian keganasan seksual, penderaan kanak-kanak dan keganasan rumah tangga di Bukit Aman, membawa struktur dan kepekaan kepada kes-kes yang sebelum itu terlalu lama kekurangan kedua-duanya.

Bersama Robert F Kennedy dan tetamu kenamaan lain, Blossom Wong memikul dua peranan dengan penuh yakin. (Gambar Facebook)

Tenang, berwibawa dan membanggakan 

Bagi pihak media, Wong pula memiliki daya tarikan tersendiri. Sidang medianya tidak pernah terasa seperti rutin biasa.

Wartawan hadir bukan sekadar untuk mendapatkan perkembangan kes, tetapi kerana Wong tahu menguasai suasana. Jawapannya jelas dan tersusun — tidak mengelak, tidak juga berlebihan.

Beliau memberi maklumat yang cukup untuk difahami, tetapi tetap menjaga batas supaya wibawanya tidak hilang.

Jarang wartawan pulang dengan tangan kosong. Selalu ada ayat yang boleh dibawa balik. Selalu ada petikan yang kuat.

Dalam bidang yang aksesnya sering dikawal ketat dan maklumatnya dijaga rapi, Wong berjaya mencari keseimbangan — tegas tetapi mudah didekati, berautoriti tetapi tidak menjauhkan orang.

Ia sesuatu yang jarang berlaku, dan sebab itulah sidang medianya antara yang paling dinanti-nantikan oleh wartawan jenayah.

Apabila mengenang semula tahun-tahun perkhidmatannya, beliau pernah berkata kerja itu mencabar, rumit dan sering meletihkan, tetapi pada masa sama penuh dengan detik membanggakan yang menjadikannya berbaloi.

Ringkas sahaja renungannya. Tetapi cukup untuk menceritakan semuanya.

Wong bersara pada 1993 sebagai superintendan selepas lebih tiga dekad menyarung uniform.

Ketika itu, landskap kepolisan sudah mula berubah. Bukan dengan bunyi yang kuat atau perubahan yang dramatik, tetapi kerana adanya insan seperti beliau.

Legasinya tidak terletak pada satu operasi atau satu gelaran semata-mata.

Ia hidup dalam sistem yang dibantunya bina, standard yang dinaikkannya, dan ruang yang dibukanya untuk wanita dalam satu bidang yang suatu ketika dahulu tidak banyak memberi tempat kepada mereka.

Jauh sebelum istilah “pemerkasaan” menjadi sebutan, Wong sudah pun menunjukkannya melalui tindakan: tenang, tidak mudah mengalah, dan jelas tidak boleh dipandang ringan.

Wong tidak pernah perlukan pintu dipecahkan untuk masuk.

Beliau hanya perlukan pintu itu terbuka sedikit.

Upacara penghormatan terakhir Wong akan diadakan pada 3 dan 4 Mei di Nirvana 2, Kuala Lumpur, diikuti pengebumian pada 5 Mei.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.