
Ketua Polis Kota Bharu, Mohd Azmir Damiri, berkata hasil bedah siasat yang dijalankan di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) mendapati terdapat 61 kesan tikaman, tidak termasuk kesan calar dan luka kecil.
“Hasil bedah siasat menemui 61 kesan tikaman pada tubuh mangsa, bermula dari bahagian muka hingga kaki, kebanyakan kecederaan tertumpu bahagian kanan badan.
“Ia tidak termasuk kesan calar atau luka kecil yang ada,” katanya, menurut Berita Harian.
Terdahulu, media melaporkan Nurfisya Zulkifly yang juga penuntut kolej ditemukan orang ramai pada jam 12.30 tengah malam dalam keadaan berlumuran darah akibat ditikam.
Gadis berasal dari Kuala Kangsar, Perak itu disahkan maut akibat tikaman berganda di bahagian dada.
Susulan kejadian itu, dua remaja lelaki dan pasangan warga emas ditahan dan direman di Mahkamah Majistret Kota Bharu semalam bagi membantu siasatan.
Ketua Polis Kelantan Mohd Yusoff Mamat yang dipetik sebagai berkata, cemburu dipercayai punca pembunuhan mangsa dan dia disyaki ditikam hingga maut oleh teman lelaki kerana berlaku salah faham.
Dalam pada itu, Azmir berkata pihaknya masih mengenal pasti motif sebenar pembunuhan dan tiada tangkapan baharu dibuat setakat ini.
“Motif sebenar kejadian masih belum dikenal pasti dan siasatan belum lagi selesai terhadap semua suspek. Setakat ini tiada tangkapan baharu dibuat,” katanya.