Rafizi tiba di ibu pejabat SPRM

Rafizi tiba di ibu pejabat SPRM

Bekas menteri ekonomi akan disoal siasat berhubung siasatan satu urusan kerajaan bernilai RM1.1 bilion melibatkan perkongsian strategik semikonduktor.

Rafizi Ramli
Bekas menteri ekonomi Rafizi Ramli bercakap kepada pemberita sebelum memasuki ibu pejabat SPRM di Putrajaya.
PUTRAJAYA:
Bekas menteri ekonomi, Rafizi Ramli tiba di ibu pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pagi ini untuk memberi keterangan berhubung siasatan satu urusan kerajaan bernilai RM1.1 bilion bersama syarikat semikonduktor berpangkalan di United Kingdom (UK), Arm Holdings.

Rafizi, yang tiba pada 9.30 pagi, sempat menyapa orang awam yang hadir bagi menunjukkan solidariti kepadanya.

Hampir 50 orang, termasuk Ahli Parlimen Subang daripada PKR, Wong Chen, berkumpul di pekarangan ibu pejabat SPRM bagi menunjukkan sokongan.

“InsyaAllah, kita akan melalui proses. Dan kita tidak ada apa mahu disembunyikan…dan kalau ia berakhir di mahkamah, saya yakinlah kita ada kes yang cukup kuat di mahkamah nanti,” kata Rafizi kepada pemberita, sambil menambah sepasukan lima peguam akan mewakilinya.

Beliau memasuki ibu pejabat berkenaan pada 9.43 pagi.

Sebelum ini, SPRM mengesahkan bahawa keterangan Rafizi akan dirakam bagi membantu siasatan berhubung dakwaan salah laku perjanjian perkongsian strategik bernilai RM1.1 bilion antara Kementerian Ekonomi dan Arm Holdings.

Agensi itu telah menyoal siasat bekas pembantu Rafizi, James Chai, selama tiga hari, pada minggu lalu.

Pada Februari, Rafizi menolak laporan SPRM yang difailkan terhadapnya melibatkan urusan kerajaan dengan Arm Holdings tersebut.

Beliau berkata, penyiasat SPRM bebas untuk menyiasatnya kerana beliau tidak bersalah, serta menolak dakwaan syarikat itu telah menyogoknya, sambil menyatakan beliau tidak pernah menerima ‘makan tengah hari atau cenderahati, apatah lagi bayaran’.

Laporan itu, yang difailkan bersama oleh tiga NGO, mendakwa seorang bekas menteri telah menyalahgunakan kuasanya berkait kontrak kerajaan bernilai hampir RM1.1 bilion, dianugerahkan kepada sebuah firma asing.

Mereka berkata laporan itu turut membabitkan seorang bekas pegawai yang pernah berkhidmat dengan syarikat berkenaan.

Malaysia telah memperuntukkan USD225 juta (RM930.52 juta) untuk perkongsian selama empat tahun bersama Arm Holdings bagi mengurangkan halangan buat syarikat Malaysia yang ingin mendapatkan akses kepada harta intelek dan teknologi syarikat berkenaan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.