SPRM panggil Rafizi beri keterangan Isnin ini

SPRM panggil Rafizi beri keterangan Isnin ini

Bekas menteri ekonomi berkata ia berkaitan siasatan ke atas perjanjian kerajaan dengan pengeluar cip Arm Holdings.

RAFIZI RAMLI
Ahli Parlimen Pandan Rafizi Ramli berkata beliau sedia hadapi sebarang pertuduhan yang mungkin dikenakan selepas memberi keterangan kepada SPRM minggu depan.
PETALING JAYA:
Bekas menteri ekonomi, Rafizi Ramli, berkata beliau menerima notis Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk memberi keterangan di ibu pejabatnya di Putrajaya pada 10 pagi Isnin ini.

Menurutnya, ia berkaitan siasatan SPRM ke atas dakwaan salah laku dikaitkan dengan perjanjian kerajaan bernilai RM1.1 bilion dengan syarikat semikonduktor berpangkalan di United Kingdom, Arm Holdings, yang ditandatangani Mac 2025.

Ahli Parlimen Pandan itu mendakwa siasatan berkenaan tertumpu sama ada beliau menekan Jemaah Menteri menandatangani perjanjian terbabit ketika menjadi menteri.

“Saya jangka selepas keterangan saya diambil minggu depan, saya mungkin didakwa atas tuduhan pecah amanah atas alasan memberi maklumat salah atau menyebabkan Jemaah Menteri menandatangani perjanjian itu secara tergesa-gesa.

“Insya Allah, saya telah bersedia dengan pasukan peguam saya,” katanya dalam catatan X.

Pada 12 Feb lalu, Rafizi menepis laporan SPRM yang dibuat terhadapnya berkaitan perjanjian kerajaan dengan Arm Holdings.

Beliau berkata, penyiasat SPRM bebas menyiasatnya kerana beliau tidak bersalah dan menolak dakwaan syarikat itu merasuahnya dengan berkata, “Saya tidak pun dapat makan tengah hari atau cenderamata daripada Arm, apatah lagi sogokan.”

Laporan yang dibuat tiga NGO itu mendakwa seorang bekas menteri menyalahgunakan kuasanya berhubung pemberian kontrak kerajaan bernilai hampir RM1.1 bilion kepada sebuah syarikat asing.

Mereka mendakwa laporan itu turut membabitkan seorang bekas pegawai pernah berkhidmat dengan syarikat itu.

Malaysia memperuntukkan komitmen USD225 juta (RM930.52 juta) bagi menjalin kerjasama empat tahun dengan Arm Holdings bagi mengurangkan halangan kepada syarikat Malaysia untuk mengakses harta intelek dan teknologinya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.