22 keterangan diambil SPRM berkait siasatan pelaburan RM1.1 bilion

22 keterangan diambil SPRM berkait siasatan pelaburan RM1.1 bilion

SPRM merakam keterangan James Chai, bekas pembantu kepada bekas menteri ekonomi Rafizi Ramli selama tiga hari berturut-turut sejak Selasa lalu.

sprm
Pengarah Kanan Bahagian Siasatan SPRM Hafaz Nazar berkata menteri dan pegawai kanan beberapa agensi kerajaan antara yang memberi keterangan sejak siasatan dimulakan 13 Feb lalu.
PETALING JAYA:
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia sudah mengambil keterangan 22 individu berhubung siasatan ke atas pelaburan RM1.1 bilion antara Kementerian Ekonomi dan syarikat United Kingdom, Arm Holdings.

Pengarah Kanan Bahagian Siasatan SPRM, Hafaz Nazar, berkata bekas menteri ekonomi, Rafizi Ramli dijadualkan hadir ke ibu pejabat SPRM di Putrajaya pada 10 pagi Isnin ini untuk memberi keterangan.

“Sehingga kini, 22 keterangan telah diambil, termasuk dalam kalangan menteri dan pegawai kanan beberapa agensi kerajaan sejak siasatan dimulakan 13 Feb lalu.

“Minggu lalu, kita telah merakam keterangan James Chai (bekas pembantu kepada bekas menteri ekonomi, Rafizi Ramli) selama tiga hari berturut-turut bermula Selasa,” katanya dalam kenyataan.

Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 23 Akta SPRM 2009 berkaitan salah guna kuasa.

SPRM membuka kertas siasatan susulan aduan beberapa badan bukan kerajaan mendakwa perjanjian itu dibuat tergesa-gesa dan bersifat berat sebelah sehingga dijangka memberikan kesan kewangan kepada kerajaan.

Semalam, Rafizi mengesahkan beliau menerima notis SPRM untuk hadir memberi keterangan berhubung siasatan itu.

Ahli Parlimen Pandan itu mendakwa siasatan tertumpu kepada dakwaan sama ada beliau menekan Jemaah Menteri supaya menandatangani perjanjian berkenaan ketika menjadi menteri ekonomi.

Malaysia memperuntukkan komitmen USD225 juta (RM930.52 juta) bagi menjalin kerjasama empat tahun dengan Arm Holdings bagi mengurangkan halangan kepada syarikat Malaysia untuk mengakses harta intelek dan teknologinya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.