
Ketua Polis Kota Bharu, Azmir Damiri, berkata suami isteri berusia 60 dan 66 tahun itu dilepaskan sebelum tempoh reman mereka berakhir esok.
“Kita kini fokuskan siasatan terhadap dua remaja berusia 19 tahun,” katanya menurut Harian Metro.
Difahamkan, pasangan warga emas itu adalah ibu bapa kepada salah seorang suspek terbabit.
Semalam, pasangan itu direman tiga hari, manakala dua remaja lelaki direman seminggu untuk siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Mayat mangsa ditemui di Jalan Kampung Kubang Kiat, Ketereh, pada 12.30 tengah malam Jumaat lalu dengan 61 kesan tikaman di seluruh badannya.
Ketua Polis Kelantan, Mohd Yusoff Mamat dilaporkan berkata, identiti mangsa dikenal pasti sebagai Nurfisya Zulkifly, 19, berdasarkan semakan cap jari Jabatan Pendaftaran Negara.
Mangsa dipercayai dibunuh di tempat lain, sebelum mayatnya dibuang di lokasi lain.
Hasil bedah siasat menunjukkan punca kematian akibat kecederaan tikaman berganda di bahagian dada.