
Mat Derus Ali, 64, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di depan Hakim Ahmad Fuad Othman.
Mengikut pertuduhan, Mat Derus didakwa secara sedar membuat dan memulakan penghantaran komunikasi jelik sifatnya dengan niat menyakitkan hati orang lain melalui akaun Facebook “Mat Derus” pada 2.15 pagi 20 Ogos 2024.
Hantaran bekas kakitangan GiatMara itu dilihat di Menara Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) 1, Jalan Impact, Cyberjaya, kira-kira 12.59 tengah hari 21 Ogos 2024.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, serta boleh dihukum di bawah Seksyen 233(3) akta sama.
Seksyen berkenaan memperuntukkan denda tidak lebih RM50,000 atau penjara hingga setahun atau kedua-duanya, dan boleh didenda RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas pensabitan.
Timbalan Pendakwa Raya SKMM, Fadhli Ab Wahab memohon hukuman setimpal memandangkan kandungan yang dimuat naik bukan bersifat neutral atau wacana sah, tetapi penghinaan nyata terhadap institusi diraja.
“Kandungan tersebut turut mengandungi elemen provokasi kaum dan agama, termasuk naratif mengaitkan kaum tertentu yang berpotensi menanam rasa curiga, kebencian dan permusuhan antara komuniti dengan masyarakat majmuk serta mengapi-apikan emosi awam.”
Sebelum menjatuhkan hukuman, hakim mengingatkan perkara berkaitan agama, raja dan kaum (3R) merupakan sentimen sensitif yang tidak seharusnya disentuh mana-mana pihak.
“Perkara 3R jangan buat main-main. Agama contohnya, kalau orang bukan Islam sentuh (mengenai) agama Islam, kamu marah bukan? Sebab itu, undang-undang (Malaysia) mengenakan hukuman berat (terhadap kesalahan 3R).”
Sementara itu, di mahkamah dan depan hakim sama, seorang pesara tentera mengaku tidak bersalah atas pertuduhan membuat dan memulakan penghantaran komen bersifat jelik di akaun media sosial miliknya, Disember lalu.
Marzuki Ismail, 52, didakwa secara sedar membuat dan memulakan hantaran komen jelik melampau sifatnya dengan niat menyakiti hati mana-mana orang di Facebook menerusi akaun “Marzuki Ismail” kira-kira 2.30 petang 22 Dis 2025.
Hantaran itu dilihat di Menara SKMM 1, Cyberjaya pada 3 pagi 24 Dis lalu.
Pertuduhan juga dibuat mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 233(3) akta sama membawa denda maksimum RM50,000 atau penjara hingga setahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Terdahulu, peguam Nik Zarith Nik Moustpha merayu tawaran jaminan RM10,000 dikurangkan atas alasan fungsi jaminan demi memastikan kehadiran anak guamnya ke mahkamah, bukannya untuk menghukum atau membebankan.
Beliau berkata, anak guamnya berkhidmat selama 22 tahun dalam angkatan tentera dan kini menyara tiga anak, termasuk dua yang masih bersekolah dengan pencen RM1,400 sebulan, selain menghidap diabetes yang memerlukan rawatan berkala di hospital.
Mahkamah membenarkan jaminan RM7,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan sebutan semula kes pada 9 Jun ini.