Termakan janji pulangan pelaburan hingga 80%, warga emas rugi RM108,000

Termakan janji pulangan pelaburan hingga 80%, warga emas rugi RM108,000

Mangsa berurusan dengan individu menawarkan pakej pelaburan saham daripada sebuah syarikat secara dalam talian.

Mangsa membuat beberapa transaksi pemindahan secara dalam talian ke akaun diberikan suspek dengan jumlah keseluruhan RM108,000, kata Ketua Polis Pontian Hadzrat Hussien Mion Hussain.
PETALING JAYA:
Seorang warga emas kerugian RM108,000 akibat terpedaya dengan pelaburan saham tidak wujud yang ditawarkan secara dalam talian.

Ketua Polis Pontian, Hadzrat Hussien Mion Hussain, berkata pihaknya menerima laporan daripada pesara wanita berusia 61 tahun itu semalam.

Katanya, mangsa mendakwa berurusan dengan individu menawarkan pakej pelaburan saham daripada sebuah syarikat kononnya mampu memberi pulangan sehingga 80% daripada jumlah pelaburan.

“Mangsa yang tertarik dengan tawaran itu kemudiannya membuat beberapa transaksi pemindahan secara dalam talian ke akaun diberikan bermula 11 Mac hingga 17 April lalu dengan jumlah keseluruhan RM108,000,” katanya dalam kenyataan, menurut Sinar Harian.

Beliau berkata mangsa mula menyedari ditipu apabila diminta membuat bayaran tambahan untuk mengeluarkan keuntungan seperti yang dipaparkan dalam aplikasi digunakan sindiket.

Katanya, siasatan mendapati modus operandi digunakan sindiket bermula apabila mangsa dimasukkan dalam kumpulan WhatsApp bersama ahli lain yang sebenarnya rakan sindiket menyamar sebagai pelabur.

“Perbualan dalam kumpulan itu memaparkan testimoni palsu yang kononnya memperoleh keuntungan lumayan.

“Mangsa kemudian diarahkan memuat turun aplikasi pelaburan palsu melalui pautan yang diberikan sebelum diminta menambah pelaburan, manakala keuntungan yang dipaparkan hanyalah rekaan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu,” katanya.

Justeru, beliau menasihatkan orang ramai lebih berwaspada terhadap tawaran pelaburan yang menjanjikan pulangan lumayan dan tidak munasabah.

Katanya, orang ramai boleh membuat semakan terlebih dahulu di CCID Infoline, perkhidmatan ‘Semak Mule’ serta memuat turun aplikasi Whoscall sebelum melakukan sebarang transaksi.

“Mereka yang menjadi mangsa penipuan diminta segera menghubungi Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC) di talian 997 bagi tindakan pantas menyekat aliran wang,” katanya lagi.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.