Warga emas rugi RM1.17 juta ditipu ‘scammer’ cinta

Warga emas rugi RM1.17 juta ditipu ‘scammer’ cinta

Suspek menyamar sebagai warga asing dan guna gambar individu lain selain dokumen peribadi disunting.

scammers
Ketua Polis Miri Mohd Farhan Lee Abdullah, berkata mangsa 64 tahun terperdaya dengan membuat 59 transaksi ke sembilan akaun.
PETALING JAYA:
Warga emas kerugian lebih RM1.17 juta akibat ‘terpesona’ dengan cinta dan janji pinjaman wang akan dikembalikan dalam mata wang dolar Amerika (USD).

Ketua Polis Miri Mohd Farhan Lee Abdullah, berkata lelaki berusia 64 tahun itu pada mulanya menerima pesanan melalui aplikasi TikTok sebelum berkomunikasi melalui WhatsApp.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati suspek menyamar sebagai warga asing dengan menggunakan gambar individu lain serta dokumen peribadi telah disunting bagi meyakinkan mangsa.

“Suspek kemudian memperdaya mangsa dengan mendakwa sedang mengendalikan projek cari gali yang telah diluluskan, namun berdepan masalah akaun bank disekat atau digodam.

“Suspek seterusnya meminta bantuan kewangan daripada mangsa untuk bayaran pendahuluan dan kos projek, dengan janji akan memulangkan semula wang tersebut dalam mata wang dolar Amerika (USD),” katanya menurut Bernama.

Farhan berkata, terperdaya dengan kata-kata manis suspek, mangsa telah membuat 59 transaksi pembayaran ke sembilan akaun pihak ketiga diberikan suspek, membabitkan jumlah keseluruhan RM1,173,700.

Katanya, mangsa hanya menyedari dirinya ditipu selepas berkongsi perkara itu dengan ahli keluarga sebelum tampil membuat laporan polis dan kes kini disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.