Dijanji pulangan lumayan, lelaki rugi lebih RM500,000 ditipu

Dijanji pulangan lumayan, lelaki rugi lebih RM500,000 ditipu

Mangsa berusia awal 50-an membuat laporan polis semalam selepas menyedari menjadi mangsa sindiket yang memperdayakannya sejak Mac lalu.

scammers
Mangsa tidak pernah menerima sebarang keuntungan atau pulangan seperti yang dijanjikan akhirnya menyedari dirinya ditipu dan membuat laporan polis, kata Ketua Polis Miri Mohd Farhan Lee Abdullah.
PETALING JAYA:
Seorang lelaki kerugian RM511,406 selepas terjerat dengan tawaran pulangan keuntungan lumayan dalam tempoh singkat menerusi skim pelaburan tidak wujud dalam talian.

Mangsa berusia awal 50-an membuat laporan polis semalam selepas menyedari menjadi mangsa sindiket yang memperdayakannya sejak Mac lalu.

Ketua Polis Miri, Mohd Farhan Lee Abdullah, berkata kejadian berlaku apabila mangsa menerima mesej WhatsApp daripada nombor telefon tidak dikenali pada 18 Mac sebelum diperkenalkan kepada satu skim pelaburan.

Katanya, skim terbabit menjanjikan pulangan tinggi dalam tempoh singkat sebelum dia diberi pautan oleh suspek.

“Dia diarah membuat beberapa pembayaran ke akaun bank yang ditetapkan bagi tujuan pelaburan berkenaan dengan 25 transaksi ke pelbagai akaun dibuat mangsa dalam tempoh 1 April hingga 24 Mei lalu.

“Mangsa membuat 25 transaksi dengan jumlah keseluruhan RM511,406.

“Bagaimanapun, selepas wang dipindahkan, suspek terus meminta bayaran tambahan dengan alasan kononnya diperlukan bagi membolehkan mangsa menerima keuntungan pelaburan yang dijanjikan,” katanya, menurut Berita Harian.

Farhan berkata mangsa tidak pernah menerima sebarang keuntungan atau pulangan seperti yang dijanjikan akhirnya menyedari dirinya ditipu dan membuat laporan polis.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

“Orang ramai dinasihatkan sentiasa berwaspada dan tidak mudah terpedaya dengan iklan pelaburan menjanjikan keuntungan tinggi dalam tempoh singkat. Buat semakan terlebih dahulu dengan pihak berkuasa berkaitan serta menghubungi National Scam Response Center (NSRC) di talian 997 sekiranya menjadi mangsa penipuan siber,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.