
Ketua Polis Kuala Terengganu, Azli Mohd Noor, berkata mangsa menerima panggilan telefon daripada individu mendakwa wakil syarikat insurans dan pegawai polis pada 13 Julai 2025 memaklumkan dia terlibat kes pengubahan wang haram membabitkan akaun banknya.
“Mangsa kemudian diminta membuka dua akaun bank kononnya bagi tujuan siasatan dan maklumat berkaitan perbankan perlu diserahkan kepada mereka.
“Mangsa juga diminta membuat bayaran ke akaun yang diberikan sindiket kononnya untuk siasatan Bank Negara,” katanya menurut Berita Harian.
Beliau berkata, mangsa kemudian memindahkan wang simpanan dan pinjaman bank berjumlah RM749,000 ke beberapa akaun bank antara Ogos 2025 hingga Januari lalu.
Jelasnya, mangsa hanya menyedari ditipu selepas membuat semakan nombor telefon yang sering menghubunginya melalui aplikasi Semak Mule.
Katanya, wanita berusia 43 tahun itu membuat laporan polis pada 12.16 tengah hari semalam.