Hantaran jelik hina Agong, ibu 6 anak didakwa semula

Hantaran jelik hina Agong, ibu 6 anak didakwa semula

Suhaila Abd Halim mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di depan Hakim Nor Hasniah Ab Razak.

Hakim membenarkan jaminan RM7,000 dengan syarat tambahan Suhaila Abd Halim perlu melaporkan diri di pejabat SKMM setiap bulan dan pasport diserahkan kepada mahkamah. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Seorang suri rumah didakwa semula di Mahkamah Sesyen Shah Alam atas pertuduhan membuat hantaran jelik terhadap Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim di Facebook tahun lalu.

Kosmo melaporkan Suhaila Abd Halim, 40, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di depan Hakim Nor Hasniah Ab Razak.

Ibu kepada enam anak itu didakwa membuat penghantaran komen jelik terhadap Agong menggunakan akaun Facebook ‘Suhaila Halim’, yang dilihat di Hospital Sungai Buloh kira-kira 8.30 pagi 5 Jan 2025.

Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM), Fadhli Ab Wahab mencadangkan jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin.

Tetapi, peguam Rushilan Gunalan memohon jaminan dikurangkan atas alasan suri rumah itu dan suaminya ialah golongan B40 serta mempunyai enam anak berusia dua hingga 13 tahun.

Hakim membenarkan jaminan RM7,000 dengan syarat tambahan tertuduh perlu melaporkan diri di pejabat SKMM setiap bulan sehingga kes selesai dan pasport diserahkan kepada mahkamah.

Sebutan semula kes ditetapkan pada 21 Julai ini.

Pada 7 Julai 2025, Suhaila mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Shah Alam atas pertuduhan membuat penghantaran jelik terhadap Sultan Ibrahim menerusi akaun Facebooknya pada Januari 2025.

Tetapi, dia dilepas tanpa dibebaskan pada 17 Sept 2025 susulan keputusan Mahkamah Rayuan pada tahun lalu berhubung perkataan “jelik” dan “menyakitkan hati”.

Mahkamah Rayuan memutuskan perkataan “jelik” dan “menyakitkan hati” dalam Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 tidak berperlembagaan serta membatalkannya, selepas membenarkan rayuan aktivis Heidy Quah untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi yang menolak samannya pada 2023.

Mahkamah Persekutuan pada 6 Feb lalu memutuskan perkataan “jelik” dan “menyakitkan hati” di bawah Seksyen 233 adalah sah serta selaras Perlembagaan Persekutuan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.