
Dalam kejadian kira-kira 3 petang semalam, hujan lebat selama hampir 20 minit menyebabkan air naik mendadak hingga menenggelami beberapa gerai sebelum surut tidak lama kemudian.
Kejadian banjir kilat dikatakan mencecah ketinggian 1.2m yang melanda medan selera di Jalan 51A/223 itu turut tular di media sosial.

Pengusaha gerai nasi ayam, Che Adin Ahmad, menyifatkan kejadian semalam antara paling buruk pernah dialaminya sepanjang lebih 10 tahun berniaga di situ.
“Sudah empat kali (dalam tempoh sebulan) banjir, tapi kali ini paling teruk sampai peti ais terapung.
“Semalam ketika kejadian, isteri saya yang menghidap strok tidak mampu berjalan, terpaksa tunggu sehingga bomba datang untuk selamatkan,” kata peniaga berusia 74 tahun kepada FMT.
Che Adin menganggarkan kerugian dilaminya lebih RM2,000, termasuk kerosakan barangan, perkakas elektrik dan stok perniagaan seminggu, selain kos membaiki peti ais gerainya akibat kejadian banjir yang lepas.
Sementara itu, pengusaha gerai nasi campur, Harliza Harun, 50, berkata kerugian hampir RM2,000 akibat kerosakan barangan elektrik dan peralatan perniagaan.

Katanya, dia sempat mengalihkan kereta ke kawasan lebih tinggi selepas melihat air mula naik, namun banyak barang di gerainya gagal diselamatkan.
“Sebelum ini, banjir pernah berlaku, tapi tak seteruk semalam.
“Barangan elektrik semua kena air dan sampai sekarang saya takut nak ‘on’ lagi, elak rosak lebih teruk,” katanya yang enam tahun berniaga di situ.
Kedua-dua peniaga mendakwa sudah ada aduan dibuat berhubung masalah banjir di kawasan berkenaan, namun kejadian terus berulang terutama ketika hujan lebat.