
Ketua Polis Kuala Terengganu, Azli Mohd Noor, berkata lelaki berusia awal 50-an itu menerima panggilan telefon daripada suspek lelaki menyamar sebagai wakil Etika Takaful pada 23 Mac lalu.
Menurutnya, suspek mendakwa nama mangsa digunakan untuk membuat tuntutan insurans kesihatan palsu di sebuah hospital, namun dinafikan mangsa.
“Panggilan mangsa kemudiannya disambungkan kepada rakan suspek yang menyamar sebagai polis, kononnya untuk membuat laporan dalam talian.
“Selain tuntutan insurans kesihatan palsu, mangsa juga didakwa terlibat kegiatan pengubahan wang haram dan rasuah. Bagi menyelesaikan kes itu, mangsa diarah membuka dua akaun bank baharu dan memindahkan semua wang simpanannya ke akaun tersebut untuk tujuan siasatan,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata, mangsa yang bimbang dikenakan tindakan undang-undang memindahkan semua wang simpanan dari akaun Tabung Haji, Amanah Saham Bumiputera dan Amanah Saham Wawasan ke dua akaun bank baharu itu.
Selain itu, katanya, suspek turut mengarahkan mangsa tidak menggunakan wang atau membuat sebarang transaksi daripada akaun bank itu sehingga siasatan selesai.
“Bagaimanapun, mangsa berasa curiga kerana selepas memindahkan semua wang simpanan yang ada, suspek masih mendesak beliau terus membuat pindahan wang ke dua akaun bank baharu itu.
“Mangsa kemudian membuat semakan baki dan mendapati beberapa pindahan wang keluar daripada dua akaun berkenaan ke akaun tidak dikenali dari 29 Mac hingga 4 Mei lalu.”
Dia yang menyedari ditipu membuat laporan polis pada 12.36 tengah hari semalam dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.