Suami isteri maut dilanggar pemandu mabuk diklasifikasi kes bunuh

Suami isteri maut dilanggar pemandu mabuk diklasifikasi kes bunuh

Kemalangan itu sebelum ini disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Dalam kemalangan pada pagi Sabtu di Jalan Ampang itu, pasangan suami isteri maut selepas dirempuh sebuah kereta dipandu seorang lelaki disyaki mabuk. (Gambar PDRM)
PETALING JAYA:
Kes kemalangan maut pasangan suami isteri yang dirempuh sebuah kereta disyaki dipandu seorang lelaki disyaki mabuk kini disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Sebelum ini kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987, lapor Sinar Harian.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur, Mohd Zamzuri Mohd Isa berkata, susulan itu pemandu terbabit yang sebelum ini dirawat di Hospital Kuala Lumpur telah ditahan bagi membantu siasatan.

Katanya, suspek lelaki berusia 24 tahun itu telah dibenarkan keluar hospital semalam sebelum hadir memberi keterangan di Balai Polis Trafik Jalan Tun HS Lee pada hari sama.

“Suspek telah direman tujuh hari sehingga 11 Mei bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya.

Menurutnya, kertas siasatan akan dirujuk ke Pejabat Timbalan Pendakwa Raya Kuala Lumpur dalam masa terdekat untuk tindakan lanjut.

Dalam kejadian 5.34 pagi Sabtu lalu itu, pasangan suami isteri berusia 61 dan 56 tahun itu disahkan meninggal dunia selepas motosikal dinaiki dirempuh sebuah kereta di Jalan Ampang berhampiran Menara Great Eastern,

Dalam kejadian itu, kereta jenis Toyota Vios yang dipandu suspek dipercayai hilang kawalan sebelum melanggar bahagian belakang motosikal jenis Honda Wave Alpha ditunggang mangsa.

Pemandu kereta dan dua lagi penumpang kenderaan tersebut mengalamai kecederaan dan dirawat di Hospital Kuala Lumpur.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.