Suspek bunuh wanita warga emas dipercayai bawah pengaruh alkohol

Suspek bunuh wanita warga emas dipercayai bawah pengaruh alkohol

Beberapa tin bir turut ditemukan semasa suspek lelaki berusia 52 tahun ditahan di lokasi kejadian.

Perak police chief Noor Hisam Nordin bernama pic 9426
Ketua Polis Perak Noor Hisam Nordin berkata motif kejadian masih dalam siasatan. (Gambar Bernama)
SERI ISKANDAR:
Suspek kes bunuh wanita warga emas ditemukan dengan beberapa kesan tetakan di sebuah rumah di Persiaran Pegoh Aman 2, Taman Desa Aman, Ipoh, semalam, dipercayai berada bawah pengaruh alkohol ketika kejadian.

Ketua Polis Perak, Noor Hisam Nordin, berkata beberapa tin bir turut ditemukan semasa suspek lelaki berusia 52 tahun ditahan di lokasi kejadian.

“Motif kejadian masih dalam siasatan dan saya dimaklumkan walaupun suspek dan mangsa berjiran, mereka dipercayai tidak mengenali antara satu sama lain kerana tinggal di lorong berbeza.

“Suspek juga difahamkan pernah mendapatkan rawatan psikiatrik di Hospital Bahagia Ulu Kinta (HBUK), Tanjong Rambutan sebelum ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Majlis Peluncuran ‘Module On The Current Trends of Commercial Crimes’ di Dewan Canselor Universiti Teknologi Petronas (UTP), di sini, hari ini.

Sementara itu, Noor Hisam turut menggesa individu mempunyai maklumat berhubung kejadian tampil membantu polis menyelesaikan kes berkenaan.

Terdahulu, Ketua Polis Ipoh, Muhammad Najib Hamzah, dilaporkan berkata mangsa berusia 70 tahun ditemukan dalam keadaan terbaring dan disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan dengan kejadian dipercayai berlaku antara 4.45 petang hingga 10 malam.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.