Setiausaha politik Loke buat laporan polis terhadap Chegubard

Setiausaha politik Loke buat laporan polis terhadap Chegubard

Laporan dibuat di IPD Seremban hari ini susulan hantaran media sosial berunsur fitnah terhadap menteri pengangkutan.

Chegubard dakwa Menteri Pengangkutan Loke Siew Fook salur peruntukan dana dalam jumlah besar kepada ‘entiti haram’ di Negeri Sembilan.
SEREMBAN:
Setiausaha Politik kepada Menteri Pengangkutan Loke Siew Fook membuat laporan polis terhadap Badrul Hisham Shaharin, atau lebih dikenali sebagai Chegubard, kerana membuat hantaran media sosial didakwa berunsur fitnah terhadap pemimpin itu berkaitan institusi undang.

Laporan dibuat oleh Ho Weng Wah di IPD Seremban 12 tengah hari tadi susulan hantaran di Facebook Chegubard bertajuk ‘Anthony Loke perlu disiasat atas membiayai entiti haram-Majlis Dato Lembaga Adat Sungei Ujong’.

“Hantaran tersebut mengandungi tuduhan Loke menyalurkan peruntukan dana dalam jumlah besar kepada sebuah entiti yang didakwa sebagai haram serta mengaitkan perkara itu dengan kekacauan institusi diraja di negeri ini.

“Kenyataan dan hantaran yang dibuat oleh individu berkenaan diyakini turut menyentuh isu sensitif 3R (kaum, agama dan institusi diraja) yang berpotensi mencetuskan ketegangan serta memecahbelahkan masyarakat,” katanya kepada pemberita.

Ho berkata, tindakan tegas perlu diambil bagi memastikan penyebaran maklumat palsu dan fitnah, khususnya yang melibatkan isu sensitif 3R dapat dibendung demi keharmonian dan kestabilan negara.

Beliau berkata, pihak polis perlu menjalankan siasatan terhadap hantaran tersebut yang dipercayai melanggar beberapa peruntukan undang-undang termasuk Seksyen 505 dan 499 Kanun Keseksaan, serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.