Penyelesaian saman fitnah, Chegubard mohon maaf kepada Nik Nazmi

Penyelesaian saman fitnah, Chegubard mohon maaf kepada Nik Nazmi

Bekas pemimpin Bersatu itu secara rasmi menarik balik dakwaan terhadap bekas menteri itu pada Disember 2023.

Di bawah syarat penyelesaian dengan Nik Nazmi Nik Ahmad, Badrul Hisham Shaharin dikehendaki muat naik video permohonan maaf di akaun media sosial dalam tempoh 24 jam selepas permohonan maaf dibacakan di mahkamah.
KUALA LUMPUR:
Bekas pemimpin Bersatu, Badrul Hisham Shaharin memohon maaf kepada Ahli Parlimen Setiawangsa Nik Nazmi Nik Ahmad, yang menjadi sebahagian penyelesaian tuntutan saman fitnah di Mahkamah Tinggi.

Aktivis berkenaan yang terkenal sebagai Chegubard, membacakan permohonan maaf secara terbuka di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman Gan Techiong, dan mengakui dakwaannya terhadap bekas menteri sumber asli dan kelestarian alam itu adalah palsu serta tidak berasas.

Beliau secara rasmi menarik balik dakwaan dibuat dalam empat hantaran Facebook, diterbitkan pada Disember 2023.

Bekas ketua Bersatu Port Dickson itu mengakui, perkataan digunakan dalam hantaran tersebut difahami membawa maksud bahawa Nik Nazmi terlibat dalam rasuah dan penyogokan, termasuk penerimaan komisen dan ‘kickbacks’ melalui proksi daripada syarikat-syarikat berkaitan projek tebatan banjir transformasi lembangan sungai.

“Saya dengan tulus ikhlas memohon maaf kepada plaintif, Nik Nazmi, atas kegusaran, tekanan, dan kesulitan yang timbul kepadanya.

“Saya berjanji tidak akan mengulangi atau menerbitkan sebarang kenyataan atau dakwaan lanjut mengenai perkara sama, atau mana-mana kenyataan yang mempunyai kesan serupa,” katanya.

Di bawah syarat penyelesaian itu, Badrul juga dikehendaki memuat naik sebuah video permohonan maaf di akaun media sosial dalam tempoh 24 jam selepas kenyataan tersebut dibacakan di mahkamah.

Nik Nazmi memfailkan saman itu atas kapasiti peribadi pada Januari 2024, turut hadir dan berjabat tangan dengan Badrul selepas prosiding tamat.

Beliau diwakili peguam Razlan Hadri Zulkifli, manakala Badrul diwakili Zolazrai Zolkapli.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.