
Hakim Roslan Mat Nor turut memerintahkan Aliff membayar kos sebanyak RM50,000.
Mahkamah turut mengarahkan Aliff memadam hantaran media sosial yang dipertikaikan, tidak mengulangi dakwaan tersebut, dan melaksanakan aku janji untuk tidak mengulangi kenyataan berunsur fitnah itu.
Kadir, 86, bekas menteri kebudayaan, kesenian dan pelancongan, memfailkan saman terhadap Aliff tiga tahun lalu berhubung hantaran media sosial yang didakwa memfitnahnya.
Beliau mendakwa, tuduhan Aliff bahawa beliau berhutang ‘puluhan juta ringgit’ menjejaskan reputasinya.
Mahkamah memutuskan terdapat saluran sah untuk Aliff menuntut semula hutang itu, dan perkara tersebut boleh diselesaikan mengikut lunas undang-undang.
Hakim turut menolak pembelaan Aliff bahawa beliau tidak berniat untuk memalukan Kadir.
“Mahkamah mendapati tindakan defendan menerbitkan kenyataan terhadap plaintif (Kadir) adalah tidak wajar dan tidak sepatutnya dilakukan.
“Jika niat sebenar defendan hanyalah untuk mendapatkan semula hutang yang didakwa itu, perkara tersebut boleh diusahakan melalui proses perundangan yang betul,” katanya.
Mahkamah juga memutuskan alasan sedemikian tidak boleh dijadikan justifikasi terhadap penerbitan kenyataan oleh defendan.
Peguam S Ravichandran mewakili Kadir manakala Zulfahmi Abu Bakar mewakili Aliff.