
Peguam Ng Yih Miin, berkata mahkamah telah memutuskan ganti rugi am dan ganti rugi teruk terhadap Looi, selaku defendan, pada 9 April.
“Defendan dikehendaki membayar RM800,000 sebagai ganti rugi am dan RM400,000 sebagai ganti rugi teruk, berserta faedah sebanyak 5% setahun dari tarikh penghakiman sehingga penyelesaian penuh, serta kos sebanyak RM10,000,” kata Ng pada sidang media.
Beliau berkata, kes berpunca daripada kenyataan fitnah dalam video diterbitkan di Facebook, mendakwa wujud salah laku oleh Sim berhubung usahanya menyelamatkan mangsa pemerdagangan manusia.
Ng berkata, antara 2020 hingga 2023, Sim telah menjalankan inisiatif peribadi menyelamatkan rakyat Malaysia yang diperdagangkan ke Kemboja dan Myanmar, dengan melaksanakan 29 misi dan menyelamatkan 109 mangsa.
Namun, beliau berkata, Looi telah mendakwa Sim menyalahgunakan dana dan memperdaya orang awam.
“Mahkamah mendapati kenyataan tersebut membawa maksud bahawa Sim telah pergi ke Thailand dan membelanjakan wang yang diambil daripada mangsa atau keluarga mereka, di mana ia tidak benar sama sekali,” katanya.
Ng berkata, kandungan fitnah itu tular dan merosakkan reputasi Sim sebagai wakil rakyat serta exco.
Beliau berkata, saman berkenaan difailkan di Mahkamah Tinggi pada 5 Nov 2024, dan penghakiman ingkar telah diperoleh pada Mac 2025.
“Defendan kemudiannya memfailkan permohonan mengetepikan penghakiman tersebut, tetapi gagal. Pada 9 April, mahkamah menolak permohonan itu dan mengekalkan penghakiman itu,” katanya.
Selain daripada ganti rugi, mahkamah turut memerintahkan Looi mengeluarkan permohonan maaf terbuka.
“Defendan juga diperintah menerbitkan permohonan maaf di semua platform media sosial dan saluran media termasuk The Star, Sin Chew, Nanyang, dan Utusan Malaysia,” kata Ng.
Beliau berkata, mahkamah juga membenarkan injunksi untuk menghalang sebarang kenyataan fitnah selanjutnya.
“Ada injunksi terhadap defendan bagi memastikan beliau atau ejen-ejennya dihalang daripada menerbit atau menyebabkan penerbitan kenyataan fitnah tersebut, termasuk tetapi tidak terhad kepada Facebook atau mana-mana platform media sosial yang lain.
“Ada juga perintah agar semua penerbitan tersebut ditarik balik dan dipadamkan,” katanya.