
Wong Chee Keong, 73, yang juga pesara kerajaan didakwa memberikan borang pengisytiharan bertarikh 13 Ogos 2012 yang mengandungi butiran palsu kepada penolong pengurus bahagian teknikal servis Bank Pembangunan Malaysia Berhad untuk mengelirukan prinsipalnya.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di Bank Pembangunan Malaysia Berhad, Menara Bank Pembangunan, Bandar Wawasan di sini pada 13 Sept 2012 mengikut Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 24 (2) akta sama membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 atau mana-mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya, Vivien Yeap Jie Xi menawarkan jaminan RM20,000 dengan dua penjamin warganegara Malaysia serta syarat tambahan pasport tertuduh diserahkan kepada mahkamah, selain perlu melaporkan diri sebulan sekali di pejabat SPRM.
Peguam Muhammad Hafizuddin Salehuddin yang mewakili Wong tidak membantah jaminan dikemukakan pihak pendakwaan, namun memohon pasport anak guamnya tidak diserahkan kepada mahkamah atas alasan isteri tertuduh sakit dan kini menetap di Melbourne, Australia.
“Anak guam saya pesara kerajaan yang kini menetap di Melbourne bersama isterinya berusia 76 tahun. Isteri anak guam saya dalam keadaan uzur kerana menghidap penyakit sakit tulang belakang kronik, sakit saraf pada kedua-dua kaki, gangguan tidur serius, masalah buah pinggang, katarak dan diabetes.
“Sekiranya, pasport anak guam saya tidak diserahkan kepada mahkamah akan memudahkan anak guam saya balik ke (Melbourne) untuk melihat isterinya, selain dia juga bukan berisiko melarikan diri serta sentiasa memberi kerjasama baik sepanjang siasatan SPRM.”
Bagaimanapun, Yeap berkata, memandangkan tertuduh pemastautin tetap Australia dan berisiko melarikan diri, penyerahan pasport kepada mahkamah tidak menafikan hak kebebasannya kerana dia masih boleh mengemukakan permohonan jika ingin melawat isterinya.
Hakim Kafli Che Ali membenarkan tertuduh diikat jamin RM20,000 dengan dua penjamin warganegara Malaysia serta syarat tambahan melaporkan diri dua bulan sekali di pejabat SPRM dan pasport tertuduh tidak diserahkan kepada mahkamah.
Mahkamah menetapkan sebutan semula kes pada 29 Jun ini.