Institusi zakat kena terbuka dedah laporan, prestasi agihan, seru PAS

Institusi zakat kena terbuka dedah laporan, prestasi agihan, seru PAS

Setiausaha Agung Takiyuddin Hassan berkata dana keagamaan seperti zakat memerlukan kawalan dalaman yang kukuh dan tidak boleh dipertikai sama sekali.

Takiyuddin Hassan
Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan, berkata kepercayaan adalah asas kepada sistem zakat.
PETALING JAYA:
PAS menyeru institusi zakat mengemukakan secara terbuka laporan tahunan serta prestasi sebagai amalan standard untuk pembayar zakat mengetahui secara pasti bagaimana dana itu diurus dan diagihkan.

Dalam kenyataan, Setiausaha Agung Takiyuddin Hassan, berkata kepercayaan adalah asas kepada sistem zakat dan jika keyakinan merosot atau runtuh, maka yang menjadi mangsa adalah golongan miskin yang bergantung kepada bantuan cepat dan berkesan.

“Kontroversi ini pada asasnya adalah isu tadbir urus dan integriti. Persoalan berhubung pengurusan dana zakat menuntut penjelasan yang meyakinkan serta akauntabiliti yang sewajarnya, termasuk di pihak kerajaan negeri.

“Oleh sebab ia melibatkan dana awam, lebih-lebih lagi dana keagamaan yang besar jumlahnya, maka kawalan dalaman mestilah sentiasa kukuh dan tidak boleh dipertikai sama sekali,” katanya.

Beliau mengambil maklum pelbagai kenyataan dikeluarkan oleh banyak pihak, termasuk Pejabat Mufti Negeri, Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs), dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) yang disifatkan bercanggah dan menimbulkan kekeliruan dari sudut bidang kuasa dan kuat kuasa undang-undang serta akauntabiliti institusi.

“Rakyat berhak mendapat penjelasan mengenai peranan, bidang kuasa dan tanggungjawab setiap agensi atau pihak berkuasa yang terlibat dalam pentadbiran zakat.”

Pada Selasa, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan tiga lelaki, termasuk timbalan pengerusi sebuah NGO kerana disyaki menyalahgunakan dana RM230 juta.

Timbalan pengerusi tersebut didakwa telah memindahkan RM230 juta itu ke dalam akaun bank syarikatnya untuk tujuan peribadi dan pelaburan.

Susulann itu, SPRM bertindak menyita 18 kenderaan mewah, termasuk Porsche dan Mercedes-Benz, serta jam tangan mewah.

Selain itu, agensi berkenaan turut menyita aset tidak alih bernilai lebih RM18.3 juta terdiri tujuh hartanah kediaman, tiga unit pejabat, dan empat plot tanah.

Agensi antirasuah itu turut membekukan 33 akaun bank dengan dana berjumlah RM120 juta.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.