PAS akan tanding lebih 15 kerusi pada PRN Melaka

PAS akan tanding lebih 15 kerusi pada PRN Melaka

Ketua Pengarah Pilihan Raya PAS Sanusi Nor berkata kerusi mahu ditandingi dianggap realistik merujuk momentum sokongan pada PRU15.

GRAND FINALE PN - BIDOR
Sanusi Nor berkata, ada ruang sangat munasabah untuk parti menang di DUN ambil kira kemenangan dua kerusi Parlimen di Jasin dan Tangga Batu.
PETALING JAYA:
PAS akan meletakkan calon di lebih 15 kerusi DUN menjelang PRN Melaka mengambil kira kemenangan parti di dua kerusi Parlimen negeri itu, kata Sanusi Nor.

Ketua pengarah pilihan raya PAS itu berkata, jumlah kerusi mahu ditandingi dianggap realistik susulan kemenangan di Parlimen Jasin dan Tangga Batu.

“Apabila kita terjemahkan undi Parlimen kepada DUN, kita dapati ada ruang yang sangat munasabah untuk PAS menang. Ini memberi keyakinan bahawa kita bukan sekadar bertanding, tetapi berupaya memberi saingan serius.

“Pilihan raya bukan hanya soal angka tetapi juga gerak kerja di peringkat akar umbi. Jika jentera bergerak dengan tersusun dan sokongan rakyat kekal, peluang itu boleh direalisasikan,” katanya memetik Utusan Malaysia.

Sanusi berkata, analisis undi kerusi Parlimen yang dipadankan dengan DUN menunjukkan ada beberapa kerusi berpotensi menang, sekiranya momentum sokongan dapat dikekalkan.

“PAS telah berjaya menembusi tembok-tembok besar yang sebelum ini sukar ditembusi seperti Bandaraya Alor Setar, sekali gus membuka peluang untuk parti ini melangkah lebih jauh terutama di Melaka nanti.”

Katanya, PAS kini memberi tumpuan kepada pengukuhan strategi di kawasan sasaran termasuk meningkatkan kehadiran di lapangan dan mendekati pengundi secara berterusan.

“Momentum sudah ada. Sekarang kita perlu gandakan usaha supaya peluang ini diterjemahkan kepada kemenangan sebenar dalam PRN nanti,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.