
Pengerusinya Adly Zahari berkata langkah itu susulan pertemuan awal beliau dengan Ketua Menteri Melaka Ab Rauf Yusoh, sebagai sebahagian pendekatan terbuka PH meneroka kerjasama politik demi mengelakkan persaingan boleh menjejaskan kestabilan negeri.
Naib presiden Amanah itu berkata beberapa cadangan telah dikemukakan kepada BN sebagai asas perbincangan, namun mengakui realiti politik menyaksikan setiap parti cenderung mempertahankan kerusi masing-masing.
“Kita telah mengemukakan beberapa cadangan kepada BN termasuklah kita cadangkan Adun lantikan yang boleh buka ruang lebih lagi.
“Saya memang tahu kerusi dimenangi akan cuba dipertahankan masing-masing. Begitu juga kerusi dimenangi pihak lain itu akan dipertahankan. Terpulang kepada mereka untuk menilai langkah seterusnya,” katanya dalam temu bual bersama FMT.
Menurutnya, bagi PH soal sama ada bertanding secara solo atau berdepan pertandingan pelbagai penjuru bukan keutamaan ketika ini.
Sebaliknya, katanya, fokus utama ialah memastikan kestabilan politik pasca pilihan raya supaya pentadbiran negeri dapat berjalan lancar dan memberi manfaat kepada rakyat.
Perkembangan itu hadir ketika wujud isyarat awal hubungan lebih positif antara kedua-dua gabungan, dengan pemangku Ketua PKR Melaka Adam Adli sebelum ini memaklumkan pertemuan antara Adly dan Rauf menunjukkan potensi kerjasama.
Presiden Umno Zahid Hamidi pada 17 Apr lalu berkata keputusan sama ada Umno akan bergerak bersendirian pada PRN Melaka akan datang, atau bekerjasama dengan PH akan diumumkan kelak.
Rauf berkata PRN Melaka akan tetap diadakan pada tahun ini selaras perlembagaan negeri walaupun ada gesaan supaya ia ditangguhkan susulan krisis global.
Dalam pada itu, Adly berkata PH Melaka kini giat memperkukuh persediaan menghadapi PRN dengan rundingan pembahagian kerusi telah mencapai kira-kira 70%.
Katanya, rundingan itu kini memasuki fasa kedua, dengan baki 30% dijangka dimuktamadkan menjelang akhir Mei sebelum dibawa ke peringkat Majlis Presiden PH.
Menurutnya, PH telah memulakan proses rundingan lebih awal sejak April melalui pendekatan berperingkat yang melibatkan tiga fasa, termasuk penubuhan jawatankuasa khusus bagi rundingan kerusi, penyediaan manifesto dan penelitian isu negeri.
“Menjelang Mei, kita sasarkan semua rundingan kerusi dapat diselesaikan sepenuhnya. Kita bergerak lebih awal daripada jadual asal bagi memastikan kesiapsiagaan jentera,” katanya.
Beliau berkata, jentera pilihan raya juga telah digerakkan lebih awal dengan pelantikan pengarah pilihan raya negeri serta pengukuhan peranan parti komponen seperti Amanah, PKR dan DAP di kawasan masing-masing.
Adly berkata pengalaman PH mentadbir Melaka sebelum ini, selain rekod perkhidmatan kepada rakyat, akan menjadi antara kekuatan utama gabungan itu dalam menghadapi PRN.
“Rakyat akan menilai berdasarkan prestasi dan keupayaan kita. Akhirnya, mandat itu tetap di tangan rakyat untuk menentukan hala tuju negeri Melaka,” katanya yang juga Adun Bukit Katil.