
Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin, berkata ketua pesuruhjaya SPRM yang baharu dilantik, Abdul Halim Aman, mestilah bertindak tanpa gentar atau pilih kasih ‘dan beliau tidak tunduk kepada sebarang tekanan politik atau kepentingan tertentu’.
“SPRM tidak boleh sama sekali dilihat apatah lagi dijadikan alat mana-mana pihak,” katanya dalam kenyataan susulan pelantikan Halim bagi jawatan nombor satu SPRM diumum awal hari ini oleh Perdana Menteri Anwar Ibrahim.
Bekas perdana menteri itu, berkata menyeru Halim memulihkan keyakinan rakyat terhadap SPRM sebagai institusi yang benar-benar bebas dan berwibawa.
Dalam pada itu, Setiausaha Agung Perikatan Nasional Takiyuddin Hassan, berkata rakyat tentunya mahu melihat siasatan dijalankan tanpa memilih bulu, campur tangan politik atau layanan berbeza.
“Kes-kes berprofil tinggi serta isu-isu ketidakcekapan atau salah laku yang melibatkan kepentingan awam hendaklah disiasat secara telus, profesional seterusnya disusuli tindakan sewajarnya,” katanya dalam kenyataan.
Takiyuddin berkata, rakyat menuntut hasil nyata dalam usaha memerangi rasuah dan penyalahgunaan kuasa.
Halim, 69, bekas hakim Mahkamah Tinggi, akan mengambil alih tugas Azam Baki, yang tempoh perkhidmatannya berakhir pada 12 Mei selepas tiga pelanjutan kontrak setahun secara berturut-turut, sejak pelantikannya pada Mac 2020.