
Pesuruhjaya Kehakiman, Helmi Hamzah, berkata mendiang K Suppiah sebenarnya hanya meminjam wang daripada defendan pertama, Lee Leong Teck, tetapi diperdaya untuk menandatangani perjanjian jual beli (SPA) tanpa memahami kesannya.
“Dokumen dipersoalkan itu sebahagian helah (transaksi) untuk menyembunyikan aktiviti pemberian pinjaman wang haram defendan pertama, yang menyebabkan Suppiah kehilangan hartanya,” katanya dalam penghakiman bertulis baru-baru ini.
Helmi berkata, tiga individu itu turut menyalahgunakan proses mahkamah dengan memulakan saman sivil dan “memaksa” Suppiah memasuki penghakiman persetujuan yang memihak kepada mereka.
S Mohanambal sebagai pentadbir harta mendiang bapanya, memfailkan saman terhadap lima defendan dengan mendakwa keseluruhan proses SPA itu helah untuk menyembunyikan aktiviti pemberian pinjaman wang defendan pertama.
Beliau menamakan Lee Seng Wai dan Robert Muniandy sebagai defendan kedua serta ketiga, manakala firma guaman Yae Seng Wai & Partners selaku defendan keempat dan pendaftar hakmilik Selangor sebagai defendan kelima.
Mohanambal berkata, bapanya membuat pinjaman RM124,000 daripada Leong Teck pada Disember 2017 dan menandatangani dokumen di firma guaman itu dengan menyangka ia hanya berkaitan pinjaman berkenaan.
Beliau berkata, bapanya tidak dapat membaca dokumen dalam bahasa Inggeris itu dan tiada sesiapa pun daripada firma guaman terbabit menerangkan sifat serta implikasi kepadanya sebelum menandatanganinya.
“Lebih setahun kemudian, bapa saya terkejut apabila mengetahui melalui perbicaraan saman sivil bahawa hartanah kediaman itu telah dipindahkan kepada defendan pertama tanpa persetujuan atau pengetahuannya.”
Menurutnya, satu penghakiman persetujuan direkodkan dalam saman sivil berkenaan ketika itu, yang membenarkan Suppiah dan penamanya membeli semula hartanah terbabit daripada Leong Teck pada harga RM190,000 dalam tempoh empat bulan.
Beliau mencabar penghakiman persetujuan itu, dengan mendakwa ia direkodkan melebihi bidang kuasa kewangan Mahkamah Majistret di bawah Seksyen 90 Akta Mahkamah Rendah 1948 (SCA).
Leong Teck dalam pembelaannya mendakwa Suppiah bersetuju menjual rumah itu kepadanya pada harga RM124,000 dan menandatangani semua dokumen berkaitan di pejabat guaman pada Disember 2017.
Tegasnya, Suppiah bersetuju menyewa rumah itu daripadanya sebanyak RM800 sebulan selama setahun bermula 1 Jan 2018, tetapi gagal membayar sewa sehingga tertunggak selama 15 bulan, sekali gus melanggar syarat perjanjian sewaan.
Leong Teck kemudian memulakan saman sivil untuk mendapatkan pemilikan kosong ke atas hartanah itu dan menuntut tunggakan sewa, dengan mendakwa Suppiah bersetuju untuk merekodkan penghakiman persetujuan pada Ogos 2019.
Helmi berkata, timbul banyak percanggahan dalam keterangan defendan berhubung proses SPA dalam perbicaraan sehingga menyukarkan mahkamah menerimanya dilakukan atas niat tulen.
Dalam mengisytiharkan penghakiman persetujuan antara Suppiah dan Leong Teck terbatal serta tidak sah, Helmi menegaskan bidang kuasa kewangan Mahkamah Majistret terhad kepada RM100,000 seperti diperuntukkan mengikut Seksyen 90 SCA.
“Dalam kes ini, penghakiman persetujuan telah direkodkan pada jumlah RM190,000, jauh melebihi bidang kuasa mahkamah.”
Mahkamah turut mengisytiharkan SPA dan perjanjian sewaan antara Suppiah serta Leong Teck tiada sebarang kesan, selain pemindahan hak milik hartanah daripada Suppiah kepada Leong Teck juga terbatal dan tidak sah.
Helmi turut memutuskan Suppiah sebagai pemilik sah hartanah itu.
Beliau memerintahkan Leong Teck, Seng Wai serta firma guaman terbabit bersama dan secara berasingan membayar ganti rugi am berjumlah RM163,400, ganti rugi teladan sebanyak RM100,000 serta RM65,850 sebagai ganti rugi teruk.
Helmi juga memerintahkan mereka masing-masing membayar kos sebanyak RM50,000 kepada plaintif.
Tiada kos dikenakan terhadap Muniandy atau pendaftar hakmilik Selangor.
Peguam Manoharan Malayalam dan Nur Syamimi Adriana Shaharim mewakili plaintif, manakala empat defendan pertama diwakili Carol Tiong serta Wan Arsham Faris Wan Razani.
Etty Eliany Tesno yang juga penolong penasihat undang-undang negeri mewakili pendaftar hakmilik Selangor.